Tanya lah Ustaz
- Mei 2025
Haji Akbar merujuk kepada hari paling mulia dalam Islam. Keadaan ini dianggap lebih istimewa kerana keutamaannya yang berganda. Rasulullah SAW pernah menyebut hari tersebut sebagai “Haji Akbar”, menandakan betapa besarnya fadhilat dan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT. Ia menjadi peluang luar biasa bagi para jemaah untuk meraih keampunan, keredaan dan limpahan rahmat-Nya.
Ibadah sembelihan bukan sekadar mematuhi hukum halal, tetapi juga mencerminkan akhlak dan rahmat Islam terhadap makhluk. Islam menggariskan syarat-syarat sembelihan yang sah, meliputi penyembelih, haiwan, peralatan dan tatacara sembelihan. Namun yang lebih utama ialah nilai ihsan yakni melaksanakan sembelihan dengan belas ihsan, tanpa menyeksa atau menzalimi haiwan.
Mengetahui tahun Hijrah sangat penting bagi umat Islam kerana banyak ibadah utama seperti puasa, haji, zakat, dan penentuan hukum syarak bergantung padanya. Ia juga menentukan sambutan perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha serta menandakan bulan-bulan mulia seperti Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah yang digalakkan memperbanyak.
Ukhuwah Islamiah menekankan nilai persaudaraan dan empati sesama Muslim dengan menggalakkan kasih sayang serta sikap saling membantu tanpa mengira bangsa atau latar belakang. Islam mengajarkan agar kepentingan umum diutamakan melebihi kepentingan peribadi demi menjamin keharmonian dalam masyarakat. Di samping itu, prinsip "Golden Rule" dalam Islam – iaitu menyukai untuk saudara kita apa yang kita suka untuk diri sendiri – menjadi asas kepada pembentukan akhlak mulia dan kehidupan bersama yang aman dan sejahtera.
Dalam dunia yang penuh cabaran ini, kita sering diuji dengan pelbagai tekanan, sama ada dalam bentuk kewangan, hubungan sesama manusia, kesihatan atau pun mental. Namun, Islam telah mengajar kita satu jalan penyelesaian yang sangat besar nilainya — iaitu memohon pertolongan daripada Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Memohon kepada Allah bukan hanya ketika susah, tetapi juga ketika senang. Ia merupakan ibadah yang menunjukkan kehambaan dan ketundukan hati. Ia tanda bahawa kita mengakui kelemahan diri dan mengiktiraf bahawa tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah SWT.
Dalam kehidupan kita, salah satu ujian besar yang sering kita hadapi adalah fitnah. Fitnah adalah salah faham, pembohongan, atau penyebaran cerita palsu yang boleh menyebabkan kerosakan besar dalam hubungan sesama manusia. Fitnah bukan sahaja merosakkan hubungan antara individu, tetapi juga membinasakan kepercayaan dan menyebabkan perpecahan dalam masyarakat. Fitnah adalah perosak yang sangat berbahaya, baik untuk individu mahupun masyarakat. Ia boleh merosakkan hubungan, menimbulkan kebencian, dan menambah dosa. Oleh itu, marilah kita berhati-hati dengan setiap kata-kata dan tindakan kita, serta sentiasa memastikan kebenaran sebelum kita menyebarkan sesuatu. Semoga kita semua dijauhkan dari fitnah dan diberi petunjuk untuk menjadi umat yang lebih baik.
Sahabat Nabi SAW ialah generasi mulia yang menerima didikan terus daripada Baginda dan menjadi pendokong utama dakwah Islam. Mereka adalah rujukan selepas al-Quran dan Sunnah dalam memahami agama serta contoh terbaik dalam akidah, ibadah dan akhlak. Menghina sahabat merupakan perbuatan tercela yang boleh menjejaskan aqidah dan merosakkan perpaduan umat. Maka, ia wajib ditegah dengan ilmu dan hikmah.
Rukhsah merujuk kepada keringanan yang diberikan dalam urusan agama bagi memudahkan umat Islam dalam keadaan tertentu. Sebagai contoh, bulu haiwan yang tidak dianggap najis seperti kucing dan ayam adalah suci dan tidak menjejaskan kesahan solat. Begitu juga dengan makanan mentah seperti sushi, sotong Vietnam atau daging stik separuh masak—halal untuk dimakan selagi haiwan tersebut disembelih mengikut syarak dan makanan itu tidak memudaratkan kesihatan. Selain itu, keraguan terhadap najis di tandas seperti percikan air selepas menggunakan pam tidak perlu diambil kira tanpa bukti yang jelas. Ini kerana Islam menolak perasaan was-was dan sentiasa memudahkan umatnya dalam urusan bersuci dan ibadah.
19.5.25 - Bersangka Baik - Ustaz Amirul Amin
Bersangka baik atau husnuzon ialah satu sikap positif di mana seseorang memilih untuk melihat sesuatu perkara daripada sudut yang baik dan memberi kepercayaan kepada orang lain sebelum membuat andaian negatif. Dalam kehidupan seharian yang penuh dengan cabaran dan salah faham, bersangka baik sangat penting untuk menjaga hubungan, mengelakkan pergaduhan, dan mewujudkan masyarakat yang harmoni. Ia juga merupakan ajaran utama dalam agama dan nilai murni yang dituntut dalam semua budaya.
18.5.25 - Perlu Ke Cemburu? - Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar
Cemburu merupakan satu perasaan semula jadi yang dialami oleh hampir setiap individu, terutamanya dalam konteks hubungan—baik hubungan cinta, persahabatan, mahupun kekeluargaan. Namun, persoalan sama ada cemburu itu perlu atau tidak, bergantung pada niat, tahap, dan cara ia ditunjukkan. Cemburu boleh menjadi alat memperkukuh hubungan, tetapi juga boleh merosakkan ikatan jika tidak dikawal dengan baik.
17.5.25 - Sunnah Nabi Ibrahim AS - Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi
Ibadah korban merupakan salah satu sunnah yang diwarisi daripada Nabi Ibrahim AS. Ia mengajarkan kita erti sebenar ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan dalam melaksanakan perintah Allah. Nilai-nilai ini penting untuk dijadikan teladan dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
16.5.25 - Ajarkan Anak Tentang Hormat - Ustaz Mohamad Yaakub Yusra
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan video tular yang menunjukkan seorang budak muda memukul orang tua selepas berlaku kemalangan. Kejadian ini sangat mengejutkan kerana tiada rasa hormat langsung terhadap orang yang lebih tua. Adakah kejadian seperti ini berlaku tanpa sebab? Dalam banyak kes, kekurangan pendidikan moral dan kurangnya rasa empati menjadi punca utama.
Rasa hormat lahir daripada pendidikan yang baik dan contoh yang ditunjukkan oleh ibu bapa atau masyarakat sekeliling. Jika dalam keluarga dan komuniti, kita tidak menekankan tentang adab, tatasusila, dan penjagaan hati orang lain, maka anak-anak akan melihat dunia ini sebagai tempat yang tidak perlu dihormati. Mari kita didik anak-anak kita dengan nilai hormat agar mereka menjadi individu yang berbudi pekerti dan menghargai orang lain. Hormati yang tua, sayangi yang muda.
15.5.25 - Tafsir & Tarannum: Surah Al-Qasas (Ayat 7-13) - Ustaz Mohd Shamsul Hakim Abd Samad
Tanyalah Ustaz hari ini membawakan bacaan dan tafsiran Ayat Al-Quran bertajuk Tafsir & Tarannum: Surah Al-Qasas (Ayat 7-13) oleh Ustaz Shamsul Hakim Abd Samad. Dengarkan perkongsiannya secara terperinci bersama Da'i Aiman.
14.5.25 - Bakti Terakhir Buat Ibu Ayah - Ustaz Mohamad Yaakub Yusra
Sejauh mana kita telah menunaikan tanggungjawab sebagai anak? Kasih sayang ibu bapa tiada gantinya, namun apakah amalan yang dapat kita lakukan untuk membalas jasa mereka, terutamanya setelah mereka tiada? Doa, sedekah, dan amal jariah yang berterusan adalah bukti kasih seorang anak yang tidak pernah padam. Mari hayati perkongsian penuh makna tentang bagaimana kita boleh terus berbakti kepada ibu bapa, bukan hanya ketika mereka masih ada, tetapi juga setelah mereka pergi meninggalkan kita.
13.5.25 - Hutang, Jangan Ambil Mudah - Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman
Hutang bukan sekadar urusan dunia, tetapi membawa kesan hingga ke akhirat. Dalam Islam, melunaskan hutang adalah kewajipan yang serius, dan mereka yang sengaja melengahkannya tergolong dalam golongan yang zalim. Episod ini membincangkan pandangan Islam mengenai hutang, tanggungjawab membayarnya, serta akibatnya jika diabaikan. Jangan ambil mudah, kerana hutang yang tidak diselesaikan boleh menjadi penghalang ke syurga.
12.5.25 - Ketulusan Ibadah - Ustaz Mohd Elyas Ismail
Dalam dunia moden yang penuh cabaran, godaan dan gangguan, keikhlasan bukanlah sesuatu yang mudah dicapai. Tanyalah Ustaz hari ini akan menyelami makna sebenar ketulusan dalam beribadah. Sama ada solat, sedekah, kerja harian atau kebaikan sesama manusia – semuanya boleh menjadi ibadah jika dilakukan dengan hati yang ikhlas.
11.5.25 - Hadis: Aisyah RA Ikon Intelektual - Ustaz Firdaus Subhi
Aisyah R.A bukan sekadar isteri Rasulullah SAW, tetapi juga seorang tokoh intelektual unggul dalam sejarah Islam. Dikenali kerana kepintaran, kefasihan dan hafalan yang luar biasa, beliau meriwayatkan lebih 2000 hadis dan menjadi rujukan utama dalam hal ehwal fiqh, akidah dan akhlak. Peranan beliau sebagai pendidik, mufti wanita dan sumber ilmu menjadikan Aisyah R.A sebagai ikon keilmuan yang wajar dicontohi oleh generasi Muslim hari ini.
10.5.25 - Bahaya Derhaka Dalam Kehidupan - Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek
Derhaka dalam kehidupan bukan hanya terbatas kepada ibu bapa. Ia terbahagi kepada lima bentuk utama iaitu derhaka kepada Allah, ibu bapa, suami atau isteri, pemerintah, dan majikan. Setiap bentuk kedurhakaan ini membawa kesan besar dalam kehidupan seorang Muslim. Islam menyeru umatnya agar sentiasa menjaga adab, ketaatan dan tanggungjawab terhadap setiap pihak yang berhak, demi meraih keberkatan hidup dan reda Ilahi. Mari ikuti kupasan mengenai bahaya derhaka dengan lebih mendalam bersama Da'i Annas dan Ustaz Hanafiah Abdul Malek.
9.5.25 - Haruan Makan Anak - Ustaz Mohamad Yaakub Yusra
Kebelakangan ini, kita digemparkan dengan drama "Keluarga Itu", yang memaparkan sisi hitam seorang bapa yang sanggup merogol anak kandungnya sendiri. Ia mencetuskan pelbagai reaksi , ada yang marah, ada yang terkejut, dan ada juga yang tidak menyangka betapa benar dan dekatnya kisah ini dengan realiti masyarakat hari ini. Fenomena ‘haruan makan anak’ ini bukan sekadar istilah peribahasa, tetapi satu bentuk kerosakan sosial yang sangat besar, yang berlaku apabila nafsu melebihi akal dan agama. Bukan itu sahaja, drama ini membuka mata, bahawa seorang ibu perlu lebih berani, lebih peka, dan lebih berpihak kepada kebenaran bukan kepada kebiasaan.
Sebagai masyarakat, kita perlu didik wanita agar tahu hak, tahu tanggungjawab, dan berani berdiri sebagai benteng terakhir anak-anak daripada kezaliman. Isu ini seharusnya menjadi cermin kepada masyarakat. Ia harus menggerakkan kita untuk lebih cakna, mendidik masyarakat dengan ilmu, dan memperkasakan institusi keluarga dengan taqwa, amanah dan kasih sayang. Semoga Allah lindungi anak-anak kita, dan berikan hidayah kepada mereka yang tersasar jalan.
Allah SWT menceritakan kisah Nabi Musa dan Firaun sebagai pengajaran kepada orang-orang yang beriman. Firaun berlaku zalim dan menindas kaumnya, khususnya Bani Israel, dengan membunuh anak lelaki dan membiarkan anak perempuan hidup. Namun, Allah merancang untuk menyelamatkan golongan yang tertindas itu, mengangkat mereka sebagai pemimpin dan mewariskan bumi kepada mereka, serta menunjukkan kepada Firaun dan tenteranya kekalahan yang mereka takutkan.
Surah Al-Hujurat adalah surah yang mendidik umat Islam tentang adab dalam kehidupan bermasyarakat dan hubungan dengan Rasulullah SAW. Ia dimulai dengan seruan kepada orang beriman dan dinamakan "Al-Hujurat" merujuk kepada bilik-bilik Nabi, berdasarkan kisah Arab Badwi yang memanggil baginda dari luar biliknya ketika baginda sedang berehat.
Antara nilai utama yang ditekankan ialah adab terhadap Rasulullah, menjaga lisan dan sikap sesama manusia, tidak menyebar berita tanpa usul periksa, menjauhi gelaran buruk dan sangka buruk, serta pentingnya menyemai ukhuwah. Surah ini juga mengingatkan bahawa darjat seseorang di sisi Allah dinilai berdasarkan ketakwaan, bukan status atau keturunan.
Dabbatul Ardh adalah salah satu tanda besar kiamat menurut Islam, yang menunjukkan bahwa dunia sudah mendekati akhir, dan manusia akan diberi peringatan terakhir. Saksikan perinciannya.
Apabila seseorang menggelarkan dirinya sebagai Muslim, maka itu bukan sekadar gelaran, tetapi satu pengakuan untuk tunduk sepenuhnya kepada perintah Allah SWT. Dari sudut bahasa, “Islam” membawa maksud tunduk, patuh dan berserah diri. Justeru, memahami dan menjaga aurat bukan hanya soal penampilan, tetapi satu bentuk kepatuhan dan ketaatan kepada Allah SWT, tanda ketundukan sebenar seorang hamba kepada Tuhannya.
Hidup ini bukanlah hidup semata-mata, menunggu masa untuk mati tanpa ada nilai dalam pengisian hidup. Kemuliaan seseorang adalah bagaimana kehidupannya dapat dimanfaatkan oleh orang lain dan ini perlu kepada sahabat yang membantunya sebagaimana sahabat Rasulullah membantu baginda dalam membaiki umat.
Justeru, ikut perbincangan bagaimana menjadi sahabat yang bermanfaat agar boleh memimpin sahabat yang lain menuju ke syurga.