Thursday, September 3, 2026

TANYA LAH USTAZ - SEPT 2026

                                                                                         Isi Kandungan


TANYA LAH USTAZ 
- SEPT 2026 





26.9.26 - Ingatlah Nikmat Tuhan - Ustaz Dr. Hafiz Haneefa

Surah Quraisy yang diturunkan di Makkah mengandungi peringatan penting buat penduduk Makkah tentang limpahan nikmat dan ihsan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka. Surah ini menonjolkan keutamaan yang diberikan kepada kaum Quraisy menerusi kemudahan perjalanan perniagaan yang aman pada musim sejuk dan musim panas, serta nikmat kecukupan rezeki yang membebaskan mereka daripada kelaparan dan ancaman ketakutan. Menerusi ingatan terhadap segala kemewahan dan keselamatan ini, Allah SWT menggesa mereka agar mentauhidkan-Nya serta menunaikan ibadah dengan penuh rasa syukur sebagai tanda pengabdian diri kepada Tuhan pemilik Kaabah.


25.9.26 - Bersabar Dengan Celaan - Ustaz Mohd Azli Abdullah

Berdasarkan Surah al-Qalam ayat 48–52, topik *Bersabar Dengan Celaan* mengupas kekuatan jiwa dalam menghadapi tekanan, kritikan dan kata-kata yang menyakitkan. Dalam era media sosial, kecaman serta komen negatif mudah mempengaruhi emosi dan tindakan seseorang. Ayat ini memberi panduan agar kita tidak mudah terbawa-bawa dengan celaan, sebaliknya membina kesabaran, mengawal emosi dan terus berpegang pada kebenaran. Pengajaran ini penting untuk membantu kita menghadapi cabaran semasa dengan lebih tenang, matang dan berpandukan iman.


24.9.26 - Gejolak Marah - Ustaz Amin Badron Hisham

Marah ialah emosi semula jadi manusia, namun apabila hilang pertimbangan, ia mudah berubah menjadi kezaliman yang meretakkan hubungan keluarga, jiran, dan keharmonian bermasyarakat. Menerusi pendekatan penyucian jiwa (tazkiyatun nafs), dorongan emosi ini boleh dididik dan dikawal agar tidak mengatasi pertimbangan akal mahupun syarak. Dengan menyepadukan kefahaman fikiran dan tindakan fizikal yang betul, gelora amarah mampu diubah menjadi sifat santun yang menenangkan, sekali gus memelihara kesejahteraan hidup di dunia dan keselamatan di akhirat.


23.9.26 - Mahram Kerana Susuan - Ustaz Mohd Azli Abdullah & Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joofree

Susuan atau menyusu merupakan ilmu penting dalam Islam kerana ia berkait dengan hubungan mahram, batas pergaulan dan nasab dalam sesebuah keluarga. Dalam kehidupan moden, khususnya apabila semakin ramai keluarga memilih kaedah penyusuan dan penjagaan anak yang berbeza, kefahaman tentang hukum susuan amat diperlukan agar tidak berlaku kekeliruan tentang hubungan antara anak susuan dan keluarga. Ilmu ini membantu generasi kini memahami hak, batas dan tanggungjawab dengan lebih jelas serta memastikan kehidupan keluarga sentiasa berpandukan syariat Prinsip ini turut menekankan kepentingan komunikasi yang jelas dan telus dalam setiap urusan bagi mengelakkan salah faham, mengurangkan pertikaian serta memelihara keharmonian hubungan sesama manusia.


22.9.26 - Antara Andaian & Kenyataan - Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan

Kaedah fiqh “Tiada pertimbangan bagi indikasi (dalalah) apabila bertembung dengan kenyataan jelas (tasrih)” menjelaskan bahawa andaian, isyarat tersirat atau kebiasaan tidak lagi menjadi sandaran apabila terdapat lafaz, syarat atau ketetapan yang dinyatakan dengan jelas, sama ada secara lisan mahupun bertulis. Kaedah ini menjadi panduan dalam menyelesaikan pertikaian apabila berlaku percanggahan antara perkara yang tersirat dengan ketetapan yang nyata. Prinsip ini turut menekankan kepentingan komunikasi yang jelas dan telus dalam setiap urusan bagi mengelakkan salah faham, mengurangkan pertikaian serta memelihara keharmonian hubungan sesama manusia.


21.9.26 - Doa Dalam Kegelapan - Ustaz Amirul Amin

Kisah Nabi Yunus a.s. melalui Surah al-Anbiya’ ayat 87–88, al-Saffat ayat 139–148 dan al-Qalam ayat 48–50 mengajar tentang kesabaran dalam menunaikan amanah, pentingnya usaha dan mujahadah serta keyakinan bahawa hidayah dan natijah adalah milik Allah SWT. Dalam menghadapi kelemahan dan kegelapan hidup, manusia dituntut mengakui kekurangan diri, terus berikhtiar, tidak berputus asa daripada rahmat Allah dan bertawakal sepenuhnya kepada-Nya. Kisah ini juga mengajar kita erti sabar, usaha dan tawakal dalam melaksanakan amanah Allah.


20.9.26 - Membina Generasi Sahabat - Ustaz Nabil Ahmad

Hadis dan sirah Rasulullah SAW memberi pengajaran bahawa amalan kebajikan tidak hanya dilakukan sekali, tetapi perlu diikuti dengan tindakan susulan (follow up) untuk memastikan keberkesanannya. Contoh Abu Bakar RA yang berpuasa, menziarahi orang sakit, memberi makan orang miskin, dan mengiringi jenazah menunjukkan bahawa penggabungan amalan harian membawa ganjaran syurga. Rasulullah SAW juga menekankan kepedulian terhadap sahabat dalam pelbagai situasi, termasuk menziarahi Zaid bin Arqam ketika sakit, memberi nasihat kepada sahabat yang kehilangan anak, membebaskan Salman al-Farisi dari perhambaan supaya dapat berjihad, serta membimbing Jabir bin Abdullah dalam urusan keluarga. Kesemuanya menonjolkan cara Rasulullah membimbing sahabat secara holistik. Bukan hanya mengajar amalan baik tetapi juga memantau, menasihati, dan membimbing mereka supaya menjadi muslim yang baik dan seimbang antara ibadah kepada Allah dan layanan kepada manusia.


19.9.26 - Empati Dalam Berdakwah - Ustaz Dr. Shamsul Hakim Abd Samad

Sikap dakwah yang berasaskan rahmat dan empati merupakan kunci utama dalam menambat hati sesama insan, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika mendoakan hidayah buat kaum Daus yang pada awalnya menentang. Daripada mendoakan kebinasaan, Islam mendidik kita untuk membalas keengganan orang bukan Islam dengan rasa empati, iaitu memahami latar belakang mereka yang mungkin belum mengenali kebenaran, serta menzahirkan akhlak mulia dan kebaikan secara berterusan. Menerusi layanan yang adil, toleransi yang tinggi, dan keikhlasan dalam berinteraksi, keindahan Islam dapat disaksikan secara nyata, sekali gus membuka ruang keharmonian dan meluaskan pintu hidayah buat mereka. Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: "Tufail bin 'Amr ad-Dausi dan sahabat-sahabatnya telah datang menemui Nabi SAW lalu berkata: 'Wahai Rasulullah, sesungguhnya kaum Daus telah mendurhakai (dakwah Islam) dan enggan (menerimanya), maka doakanlah kebinasaan ke atas mereka!' Lalu ada yang berkata: 'Binasalah kaum Daus.' Namun Baginda (sebaliknya) berdoa: 'Ya Allah, berilah hidayah kepada kaum Daus dan bawalah mereka (kepada Islam).


18.9.26 - Amalan Yang Diwarisi - Ustaz Mohd Azli Abdullah & Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre

Amalan Yang Diwarisi melalui Surah al-Mulk, ayat 1 hingga 5 mengajak kita memahami bahawa kehidupan bukan sekadar tentang apa yang kita miliki, tetapi apa yang kita tinggalkan sebagai bekalan dan contoh kepada generasi seterusnya. Dalam dunia hari ini, nilai dan amalan mudah dipengaruhi oleh persekitaran, keluarga serta media sosial. Justeru, generasi kini perlu memahami kepentingan membina amalan yang baik dan mewariskan nilai Islam kepada anak-anak agar kebaikan terus berkembang dari satu generasi ke generasi berikutnya.


17.9.26 - Bebas Dari Belenggu Dunia - Ustaz Ahmad Fuad Mokhtar

Sebagai kesinambungan daripada halangan kedua iaitu taubat, laluan ibadah diteruskan dengan menempuh halangan ketiga iaitu Gangguan Pencelah (Al-‘Awa’iq), di mana rintangan terawalnya ialah dunia. Ia menuntut pembersihan hati daripada keterikatan harta dan kesibukan kebendaan (at-Tajarrud 'an ad-Dunya) agar ibadah dapat dilaksanakan secara fokus dan lapang. Mengabaikan rintangan ini hanya akan membuatkan jiwa terbelenggu dengan ketamakan serta hilang keutamaan terhadap akhirat. Dalam konteks kemasyarakatan, kejayaan membebaskan diri daripada cengkaman duniawi amat penting untuk melahirkan individu yang dermawan, mengikis sifat dengki, serta membina komuniti yang lebih tenang dan harmoni.


16.9.26 - Perpaduan Membawa Rahmat - Dato' Mohd Fauzi Mustaffa & Ustaz Abdul Aziz Che Mat

Perpaduan Membawa Rahmat akan membincangkan perpaduan sebagai tuntutan agama dan asas kepada kestabilan sesebuah negara. Topik ini akan mengupas bagaimana Al-Quran dan sunnah mengajar umat Islam supaya memelihara ukhuwah, menghormati kepelbagaian, menghindari perpecahan, serta membina masyarakat yang saling membantu dan berkasih sayang. Di samping itu mengaitkan kepentingan perpaduan dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, agar nilai hormat-menghormati, toleransi dan tanggungjawab bersama dapat terus diperkukuhkan demi mengekalkan keamanan, keharmonian dan keberkatan kepada negara.


15.9.26 - Mudahkan Yang Harus - Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan

Kaedah fiqh “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus” menetapkan bahawa setiap perkara, transaksi, makanan, dan kemudahan baharu yang didiamkan oleh syarak dianggap berhukum harus secara automatik selagi tiada dalil sahih yang melarangnya. Prinsip ini bertindak sebagai tiang kelapangan dalam Islam dengan memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada manusia untuk berinovasi dan memanfaatkan ciptaan di bumi tanpa perlu dibelenggu rasa cemas atau waswas. Menerusi pendekatan ini, syarak menutup ruang sikap melampau dalam mengharamkan sesuatu tanpa asas, memelihara maslahat kehidupan moden, serta memastikan ketetapan hukum sentiasa bersifat praktikal, dinamik, dan memudahkan umat. Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah - harus (dibenarkan), sehinggalah terdapat dalil yang menunjukkan kepada pengharamannya.


14.9.26 - Simbolik Kesyukuran - Ustaz Bakhtiar Fitri

Kelahiran seorang cahaya mata merupakan anugerah terindah yang membawa kebahagiaan kepada sesebuah keluarga. Sebagai tanda kesyukuran atas kurniaan Allah SWT, syariat Islam menganjurkan ibadah akikah sebagai salah satu bentuk penyambutan terhadap kelahiran anak. Topik ini mengajak penonton memahami makna dan falsafah di sebalik ibadah akikah, bukan sekadar sebagai amalan yang dilakukan mengikut adat, malah sebagai manifestasi awal tanggungjawab ibu bapa dalam memuliakan anak. Turut dikupas panduan praktikal, hukum-hakam serta isu-isu berkaitan akikah.


13.9.26 - Menjaga Yang Menjaga - Ustaz Hanafiah Abdul Malek

Apabila ibu bapa semakin berusia dan uzur, anak-anak pula berdepan dengan tanggungjawab membina keluarga, mengejar kerjaya serta mengurus kehidupan sendiri. Keadaan ini kadangkala menimbulkan dilema, terutama apabila adik-beradik mempunyai komitmen dan kemampuan yang berbeza. Bagaimana mencari keseimbangan antara tanggungjawab terhadap keluarga sendiri dengan kewajipan berbakti dan menjaga ibu bapa yang semakin memerlukan perhatian?


12.9.26 - Kesempurnaan Iman - Ustaz Dr. Hafiz Haneefa

Surah al-Ma'un yang diturunkan di Makkah menyingkap kebencian dan keharuan terhadap sikap golongan yang mendustakan hari pembalasan menerusi gambaran akhlak buruk mereka. Surah ini mencela sekeras-kerasnya mereka yang bersikap kasar serta mengabaikan hak anak-anak yatim dan fakir miskin, sekali gus menegaskan bahawa keimanan sebenar tidak boleh dipisahkan daripada keprihatinan sosial. Selain itu, ia turut memberi amaran keras terhadap mereka yang lalai dalam menunaikan solat, beramal kerana riyak untuk menunjuk-nunjuk, serta enggan menghulurkan bantuan asas kepada sesama manusia. Justeru, surah ini menjadi peringatan penting bahawa kesempurnaan ibadah ritual mestilah disusuli dengan keluhuran akhlak dan sifat pemurah demi mencapai keredaan Allah SWT.


11.9.26 - Perumpamaan Isteri - Ustaz Mohd Azli Abdullah

Perumpamaan Isteri melalui Surah at-Tahrim ayat 10–12 membawa pengajaran tentang pilihan, iman dan keteguhan diri dalam menghadapi kehidupan berumah tangga. Kisah yang diketengahkan menunjukkan bahawa latar keluarga atau pasangan tidak menjamin kekuatan iman seseorang. Dalam konteks masa kini, mesej ini sangat relevan untuk mengajar generasi muda supaya tidak menjadikan keadaan sekeliling sebagai alasan untuk mengabaikan prinsip agama, sebaliknya membina pendirian dan hubungan yang berlandaskan iman serta tanggungjawab.


10.9.26 - Hargai Sebuah Kebenaran - SS Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Sukki Othman

Salman al-Farisi RA ialah seorang pemuda Parsi yang sanggup meninggalkan keluarga, kemewahan dan kedudukan demi mencari agama yang benar. Beliau menempuh perjalanan panjang, berguru dengan beberapa orang soleh, ditipu, diperhambakan dan melalui kehidupan yang penuh kesusahan sebelum akhirnya bertemu Rasulullah SAW dan memeluk Islam. Sisi yang jarang dibincangkan ialah ketabahannya melalui proses mencari kebenaran tanpa pernah berputus asa. Selepas Islam, beliau bukan sahaja bijak mencadangkan strategi Khandak, tetapi terkenal dengan ilmu, kesederhanaan dan kematangan fikirannya.


9.9.26 - Kasih Dalam Berkeluarga - Ustaz Syed Abdul Kadie Aljoofree

Topik ini mengajak kita melihat bagaimana Baginda membina kehidupan berkeluarga dengan kasih sayang, komunikasi, kesabaran dan saling menghormati. Dalam realiti rumah tangga masa kini yang berdepan tekanan, konflik dan cabaran komunikasi, kehidupan Rasulullah SAW menjadi contoh yang sangat relevan untuk dipelajari. Memahami cara Baginda melayani pasangan dan keluarga bukan sekadar kisah sirah, tetapi ilmu penting untuk membentuk rumah tangga yang lebih matang, harmoni dan berlandaskan ajaran Islam.


8.9.26 - Masa Sebagai Paksi - Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan

Kaedah fiqh “Asal bagi setiap kejadian baharu disandarkan kepada waktu yang paling hampir” menetapkan bahawa apabila timbul pertikaian mengenai tarikh berlakunya sesuatu peristiwa tanpa sebarang bukti, penetapan hukum wajib berlandaskan waktu yang paling dekat dengan keadaan semasa. Prinsip ini bertindak sebagai pasak kepastian dengan mendahulukan fakta yang disepakati dan pasti berbanding andaian masa lalu yang meragukan. Menerusi pendekatan ini, syarak menutup ruang dakwaan tanpa asas, memelihara keadilan dalam hubungan sesama manusia, serta memastikan setiap keputusan hukum dibuat di atas landasan fakta yang paling selamat dan meyakinkan. Asal bagi sesuatu kejadian baharu adalah disandarkan kepada waktu yang paling hampir dengannya.


7.9.26 - Pertentangan Iman & Sihir - Ustaz Amirul Amin

Pertembungan antara Nabi Musa AS dan ahli sihir Firaun menjadi detik penting apabila mukjizat yang dikurniakan Allah SWT mengatasi tipu daya sihir mereka. Menyedari kebenaran yang dibawa Nabi Musa AS, para ahli sihir Firaun akhirnya tunduk beriman kepada Allah SWT dan sanggup berdepan dengan ancaman Firaun demi mempertahankan tauhid. Kesan daripada peristiwa itu, istana Firaun bergolak dan rancangan untuk membunuh Nabi Musa AS mula dirancang. Dalam keadaan genting tersebut, tampil seorang lelaki daripada keluarga Firaun untuk membela Nabi Musa AS. Kisah ini mengangkat pengajaran tentang pengorbanan, keberanian mempertahankan kebenaran dan hakikat kemenangan iman.


6.9.26 - Kemanisan Bertaubat - Ustaz Ahmad Fuad Mokhtar

Sebagai kesinambungan daripada halangan pertama iaitu ilmu, laluan ibadah diteruskan dengan menempuh halangan kedua yang amat kritikal, iaitu taubat. Ia bertindak sebagai pembersihan jiwa yang wajib dilalui agar amal ibadah dapat dilaksanakan dengan ringan, ikhlas, dan penuh kemanisan. Mengabaikan rintangan ini hanya akan membelenggu rohani dengan bebanan dosa serta menyekat keberkatan amalan daripada diterima Allah SWT. Dalam konteks kemasyarakatan, penghayatan konsep taubat amat penting untuk melahirkan individu yang saling memulihkan hak, berani memohon maaf, serta membina komuniti yang berhati bersih, harmoni, dan sentiasa dinaungi rahmat-Nya.


5.9.26 - Infak Pada Akhir Zaman - Ustaz Dr. Shamsul Hakim Abd Samad

Amalan bersedekah merupakan antara bentuk kebaikan yang dapat melapangkan jiwa dan membawa keberkatan dalam kehidupan. Sifat pemurah diibaratkan membebaskan diri daripada kesempitan, berbeza dengan sifat bakhil yang mengikat seseorang pada hartanya. Dengan niat yang ikhlas, harta yang diinfakkan tetap bernilai mulia di sisi Allah SWT dan berpotensi membawa kebaikan kepada penerimanya. Justeru, umat Islam diseru agar menyegerakan infak dan tidak melepaskan peluang untuk bersedekah. Peringatan Nabi SAW tentang suatu masa apabila harta melimpah sehingga tiada lagi yang mahu menerima sedekah menjadi dorongan untuk merebut kesempatan beramal demi kebaikan dan keselamatan hidup di dunia serta akhirat.


4.9.26 - Kasih Sayang Nabi - Ustaz Mohd Azli Abdullah

Kasih Sayang Nabi berdasarkan Surah at-Talaq ayat 11 membawa kita melihat bagaimana Rasulullah SAW menjadi pembimbing yang membawa manusia kepada jalan yang benar dengan izin Allah. Dalam kehidupan hari ini, apabila generasi muda berdepan pelbagai pengaruh dan kekeliruan, mengenali cara Rasulullah SAW membimbing umat menjadi ilmu yang penting untuk membentuk akhlak, prinsip dan cara kita berinteraksi dengan orang lain. Kasih kepada Nabi bukan sekadar pada ucapan, tetapi diterjemahkan melalui usaha mengenali, menghayati dan mengikuti sunnah Baginda.


3.9.26 - Serumah & Sehaluan - Ustaz Hanafiah Abdul Malek

Hidup di bawah satu bumbung tidak semestinya menjadikan pasangan sentiasa dekat dari segi emosi dan komunikasi. Kesibukan, penggunaan telefon dan media sosial serta masalah yang tidak diselesaikan boleh menyebabkan hubungan semakin renggang walaupun rutin harian masih dilalui bersama.

Bagaimana Islam membimbing pasangan dalam membina semula kasih sayang, memperbaiki komunikasi dan mengembalikan keharmonian dalam rumah tangga?


2.9.26 - Fitnah Dunia - Ustaz Mohd Azli Abdullah

Fitnah Dunia berdasarkan Surah at-Taghaabun ayat 14–18 mengingatkan kita bahawa keluarga, harta dan kesibukan dunia boleh menjadi ujian yang melalaikan manusia daripada Allah. Dalam kehidupan hari ini yang penuh dengan tekanan, gaya hidup dan budaya mengejar kemewahan, ayat ini mengajar generasi kini supaya bijak mengurus dunia tanpa membiarkan dunia menguasai hati. Memahami perkara ini penting agar kita mampu menyeimbangkan urusan kehidupan dengan iman, tanggungjawab dan bekalan akhirat.


1.9.26 - Daripada Adat Kepada Ibadah - Ustaz Dr. Nur Mohamamd Hadi Zahalan

Kaedah fiqh “Niat membezakan antara ibadah dengan adat” menjelaskan bahawa status hukum dan nilai ganjaran sesuatu perbuatan bergantung kepada niat serta tujuan yang tersimpan dalam hati. Prinsip ini menjadi asas dalam membezakan amalan ibadah daripada perbuatan yang sekadar menjadi rutin atau kebiasaan harian. Melalui kefahaman ini, amalan harian yang dilakukan dengan niat kerana Allah SWT boleh berubah daripada sekadar adat kepada ibadah yang bernilai pahala. Ia juga menekankan kepentingan memelihara keikhlasan hati agar setiap amalan mempunyai tujuan yang jelas dan selari dengan tuntutan syarak.





                                                                                         Isi Kandungan










Monday, August 10, 2026

TANYA LAH USTAZ - OGOS 2026

                                                                                             Isi Kandungan


TANYA LAH USTAZ 
- OGOS 2026 



31.8.26 - Fathul Makkah: Erti Kemerdekaan - Ustaz Nabil Ahmad & Ustaz Syaari Ab Rahman

Fathul Makkah merupakan peristiwa penting dalam sirah Rasulullah SAW yang menyaksikan pembukaan Kota Makkah oleh umat Islam. Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan dari sudut ketenteraan, malah memperlihatkan nilai pemaafan, ketundukan kepada Allah SWT dan pembebasan daripada kezaliman serta kesyirikan. Peristiwa ini mengajar bahawa erti kemerdekaan yang sebenar bukan hanya bebas daripada penindasan, tetapi membebaskan jiwa daripada belenggu kejahilan dan kembali tunduk kepada Allah SWT.


30.8.26 - Kerasulan Musa Menghadapi Firaun - Ustaz Amirul Amin

Kehidupan Nabi Musa AS berubah apabila Baginda menerima panggilan Allah SWT di Lembah Tuwa dan diangkat sebagai Rasul. Dengan mukjizat serta petunjuk daripada Allah, Baginda bersama saudaranya, Nabi Harun AS, diperintahkan kembali ke Mesir untuk berhadapan dengan Firaun yang terkenal dengan kezaliman dan keangkuhannya. Kisah ini turut menyingkap strategi dakwah Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS yang mengutamakan kelembutan serta ketenangan dalam menyampaikan kebenaran, walaupun berhadapan dengan penguasa yang zalim.


29.8.26 - Memahami Tauhid - Ustaz Dr. Shamsul Hakim Abd Samad

Kemahiran berfikir dengan betul menjadi asas penting dalam membina pegangan akidah yang kukuh serta membantu masyarakat menilai sesuatu perkara dengan lebih berhati-hati. Kefahaman tentang hukum akal — wajib, mustahil dan harus dapat membimbing seseorang mengenali Tuhan berdasarkan pemikiran yang waras dan hujah yang jelas. Ilmu ini bukan sekadar teori, malah menjadi benteng agar umat Islam tidak mudah terpengaruh dengan kekeliruan agama atau ajaran yang menyeleweng, khususnya ketika berdepan pelbagai maklumat dan pengaruh pada masa kini.


28.8.26 - Harta Yang Tidak Melalaikan - Ustaz Mohd Azli Abdullah

Surah al-Munafiqun ayat 9–11 mengingatkan manusia agar tidak membiarkan harta dan kesibukan dunia melalaikan tanggungjawab kepada Allah SWT. Harta seharusnya menjadi wasilah untuk melakukan kebaikan, membantu golongan yang memerlukan dan memperoleh keberkatan, bukan menjadi punca seseorang meninggalkan ibadah. Dalam kehidupan yang semakin mengejar kejayaan, kerjaya dan kemewahan, keseimbangan antara keperluan dunia dan bekalan akhirat amat penting agar nikmat harta tidak menjauhkan hati daripada Allah SWT.


27.8.26 - Tipuan Diri Dan Dunia - Ustaz Amin Badron Hisham

Sifat al-ghurur pada hakikatnya merupakan satu bentuk kejahilan yang berlaku apabila seseorang tertipu oleh kehendak nafsu dan hasutan syaitan, sehingga mereka menganggap perkara yang salah sebagai satu kebaikan. Sifat buruk ini membuatkan pelakunya hidup dalam khayalan, menutup pintu hati daripada menerima nasihat, serta terus kekal berada dalam kesilapan dan kemaksiatan tanpa disedari. Hakikatnya, penyakit hati ini tidak hanya merosakkan individu, malah ia memberi impak yang sangat buruk kepada masyarakat kerana komuniti yang dipenuhi individu egoistik tidak akan mampu bertoleransi, sukar untuk bekerjasama, dan akhirnya gagal untuk bangkit membina kemajuan bersama. Tajuk ini akan mengupas perihal sifat al-ghurur serta bagaimana kita boleh membina sikap diri yang terhindar daripada sifat tercela ini.


26.8.26 - Tiga Nikmat Dunia - Ustaz Dr. Mohd Azmi Yaacob

Kebahagiaan tidak semestinya diukur melalui banyaknya harta atau kemewahan yang dimiliki. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa antara nikmat terbesar dalam kehidupan ialah berasa aman, memiliki tubuh yang sihat dan mempunyai rezeki yang mencukupi untuk hari tersebut. Hadis ini mengajak kita berhenti seketika dan mensyukuri nikmat yang sering dianggap biasa. Jika kita bangun pada pagi hari dalam keadaan tenteram, sihat dan mempunyai makanan yang mencukupi, sesungguhnya kita telah memiliki nikmat kehidupan yang sangat besar.


25.8.26 - Rahmatan Lil'Alamin - Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan & Ustaz Zul Ramli Razali

Bersempena Istimewa Maulidur Rasul, Tanyalah Ustaz membincangkan dengan lebih mendalam konsep Rahmatan Lil'Alamin yang menggambarkan Islam sebagai agama yang membawa rahmat, kasih sayang dan kebaikan kepada seluruh alam. Penghayatan terhadap sifat rahmat yang ditunjukkan Rasulullah SAW dapat menjadi panduan dalam membentuk akhlak yang lebih penyayang, prihatin dan menghormati sesama manusia serta makhluk lain.


24.8.26 - Ketika Lahirnya Rahmat - Ustaz Bakhtiar Fitri

Detik kelahiran Nabi Muhammad SAW menjadi titik penting dalam sejarah peradaban manusia dan membawa perubahan besar kepada dunia. Bersempena Maulidur Rasul, sorotan sirah ini menelusuri kisah di sebalik kelahiran Baginda serta peristiwa-peristiwa yang mengiringinya. Penghayatan Maulidur Rasul bukan sekadar memperingati kelahiran Baginda, tetapi memahami akhlak, keperibadian dan sunnah Rasulullah SAW untuk diterapkan dalam kehidupan. Kecintaan kepada Baginda dapat dizahirkan melalui penghayatan sirah dan usaha menjadikan sunnah sebagai panduan hidup.


23.8.26 - Hakikat Sifat Maha Tinggi - Ustaz Ahmad Fuad Mokhtar

Ketinggian dan keagungan mutlak hanya milik Allah SWT. Melalui penghayatan terhadap nama-nama Allah Al-'Aliy, Al-A'la dan Al-Muta'al, manusia diajak menyedari betapa kecil dan lemahnya diri apabila berhadapan dengan kebesaran-Nya. Kefahaman ini mendidik jiwa agar menjauhi sifat ego dan takbur, serta meletakkan sepenuh kebergantungan kepada Allah SWT sebagai Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.


22.8.26 - Umat Terawal & Terakhir - Ustaz Dr. Shamsul Hakim Abd Samad

Keistimewaan luar biasa sebuah generasi akhir zaman yang dikurniakan kedudukan terawal dan paling mulia di hari pembalasan kelak, meskipun kewujudan mereka di dunia adalah yang paling mutakhir. Kelebihan ini terserlah menerusi kurniaan hidayah dan petunjuk dalam mengagungkan hari yang penuh keberkatan, di samping tuntutan menjaga kebersihan diri secara menyeluruh melalui amalan bersuci secara berkala sebagai lambang kesucian jiwa dan fizikal. Kesedaran terhadap status dan tanggungjawab ini amat penting bagi membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai jati diri yang tinggi, sentiasa menjaga keharmonian komuniti melalui disiplin kebersihan yang utuh, serta bersatu padu dalam menzahirkan syiar yang membawa kebaikan bersama


21.8.26 - Jumaat Mengatasi Dunia - Ustaz Mohd Azli Abdullah

Berkat Jumaat mengupas pengajaran daripada Surah al-Jumu'ah ayat 9–11 tentang keutamaan menyahut seruan solat Jumaat dan mengutamakan perintah Allah mengatasi urusan dunia. Dalam kesibukan kehidupan moden yang dipenuhi tuntutan kerja dan perniagaan, ayat ini mengingatkan bahawa keberkatan rezeki lahir apabila ibadah didahulukan. Kefahaman ini menjadi ilmu penting untuk membentuk generasi yang seimbang antara mengejar kejayaan dunia dan meraih keredaan Allah.


20.8.26 - Bilal Bin Rabah - Ustaz Fikri Abdul Razak

Kisah perjuangan Bilal bin Rabah membawa penonton menelusuri ketabahan luar biasa seorang hamba abdi yang bangkit menjadi salah seorang sahabat paling setia di sisi Rasulullah SAW. Biarpun diseksa dengan kejam di padang pasir yang membakar demi mempertahankan akidahnya, keteguhan iman Bilal yang teruji lewat laungan ikonik "Ahad! Ahad!" akhirnya membuahkan kemerdekaan jiwa, hinggakan beliau diangkat menjadi Muazzin pertama dalam sejarah Islam. Perkongsian ini bukan sekadar sorotan sejarah, malahan sebuah inspirasi agung tentang maruah, kesetaraan kemanusiaan, dan cinta sejati kepada Allah dan Rasul-Nya yang melangkaui darjat serta warna kulit.


19.8.26 - Kenali Rasulullah SAW - Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre & Ustaz Mohd Azli Abdullah

Kenali Rasulullah mengajak kita mengenali gambaran fizikal Rasulullah SAW berdasarkan riwayat hadis-hadis sahih. Bersempena bulan Maulid, mengenali sifat dan peribadi Baginda bukan sekadar menambah ilmu, malah dapat menyemai rasa cinta serta mendorong umat Islam mencontohi akhlak dan sunnah Rasulullah SAW. Dalam dunia yang dipenuhi pelbagai pengaruh dan idola, mengenali Rasulullah SAW menjadi asas penting dalam membentuk jati diri dan menanam kecintaan kepada insan pilihan Allah SWT.


18.8.26 - Antara Syak Dan Sah - Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan

Kaedah fiqh “Asal adalah belum melakukan” memberi garis panduan jelas kepada masyarakat bahawa apabila timbul keraguan sama ada sesuatu tindakan itu telah berlaku atau belum, asasnya ia dianggap belum berlaku. Prinsip ini menjadi penyelesaian utama dalam menguruskan kekeliruan ibadah serta krisis rumah tangga akibat keraguan. Bagi perkara ibadah, masyarakat dipimpin untuk mengambil langkah paling selamat dan yakin, manakala dalam pertikaian status hubungan, kaedah ini menetapkan kadar paling minimum demi memelihara keutuhan institusi keluarga daripada andaian dan keraguan yang membinasakan.


17.8.26 - Membumikan Mesej Al-Quran - Ustaz Hanafiah Abdul Malek

Al-Quran menyampaikan mesej Islam melalui pelbagai pendekatan, termasuk kisah sejarah, perumpamaan dan susunan tema yang sesuai dengan pelbagai tahap pemikiran manusia. Kaedah penyampaian yang dekat dengan jiwa ini bukan sahaja memudahkan kefahaman, malah mampu memberi kesan kepada emosi dan kehidupan seharian. Dalam era digital, pendekatan storytelling dan hujah bertema boleh dimanfaatkan dalam penyampaian dakwah bagi menarik minat generasi muda. Gaya komunikasi yang lebih segar dan kreatif dapat menjadikan mesej agama lebih dekat, mudah difahami dan relevan dengan masyarakat masa kini.


16.8.26 - Mulia Di Sisi Allah SWT - Ustaz Nabil Ahmad

Surah Abasa merakam teguran Allah SWT kepada Rasulullah SAW berkaitan Saidina Abdullah bin Ummi Maktum, seorang sahabat yang mempunyai penglihatan terbatas dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ilmu. Peristiwa ini mengajar tentang kepentingan menghargai mereka yang benar-benar ingin belajar dan berbakti, tanpa menilai seseorang berdasarkan keadaan fizikal atau kedudukan sosial. Kemuliaan manusia tidak ditentukan oleh rupa dan status, sebaliknya terletak pada iman, ketakwaan serta kesungguhan dalam mencari ilmu dan melakukan kebaikan.


15.8.26 - Nikmat Melimpah Ruah - Ustaz Dr. Hafiz Haneefa

Surah al-Kautsar membawakan perihal khabar gembira mengenai kurniaan nikmat yang melimpah-ruah daripada Yang Maha Pencipta sebagai tanda kemuliaan, di samping seruan utama untuk menzahirkan rasa syukur melalui penyerahan diri secara total dalam ibadah yang ikhlas dan pengorbanan yang suci. Pada masa yang sama, ditegaskan juga bahawa golongan yang memendam kebencian terhadap kebenaran ini pada hakikatnya terputus daripada segala bentuk kebaikan serta rahmat. Kefahaman ini amat penting bagi melahirkan sebuah masyarakat yang sentiasa bersyukur, saling menyokong atas dasar kebaikan, dan bebas daripada penyakit hasad dengki demi membina sebuah komuniti yang harmoni serta diberkati.


14.8.26 - Kata Dikota - Ustaz Mohd Azli Abdullah

Surah as-Saf ayat 2–3 mengingatkan tentang pentingnya menyelaraskan setiap kata dengan perbuatan. Dalam kehidupan seharian, khususnya ketika komunikasi semakin mudah melalui media sosial, integriti bukan hanya dinilai melalui apa yang diucapkan tetapi juga melalui tindakan yang dilakukan. Memahami mesej ayat ini dapat membentuk sikap lebih amanah, bertanggungjawab dan konsisten antara ucapan dengan amalan.


13.8.26 - Rahsia Empat Nama Agung - Ustaz Amin Badron Hisham

Mengenal Allah SWT dengan mendalam merupakan kemuncak makrifat yang membina keteguhan iman, khususnya apabila menghayati gabungan empat nama suci Al-Awwal, Al-Akhir, Az-Zahir, dan Al-Batin yang mentakrifkan keesaan-Nya tanpa dibatasi sempadan masa mahupun ruang. Menerusi kefahaman yang bersandarkan hadis sahih ini, kita dididik untuk menyedari bahawa setiap kurniaan bermula daripada-Nya, Dialah tempat bersandar segala harapan, zat yang mengatasi segala keagungan, namun pada masa yang sama amat dekat mengetahui segala rahsia di lubuk hati hamba-Nya. Di tengah-tengah kesibukan dunia moden yang sering membuatkan manusia terleka, perkongsian ini meneliti keperluan jiwa masyarakat untuk kembali bertaut kepada konsep ketuhanan yang sebenar bagi mengikis rasa sunyi dan cemas dalam hidup. Kupasan yang padat dan penuh keinsafan ini bakal membuka lembaran baharu buat penonton untuk merasai kehadiran Allah dalam setiap helaan nafas, sekali gus membentuk peribadi hamba yang sentiasa bertakwa dan berlapang dada mendepani ujian takdir.


12.8.26 - Nafkah Yang Berkat - Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre & Ustaz Mohd Azli Abdullah

Nafkah merupakan antara tanggungjawab penting dalam kehidupan berkeluarga yang melibatkan hak pasangan dan keperluan anggota keluarga. Kefahaman terhadap hukum hakam nafkah membantu mengelakkan salah faham serta pertikaian yang boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga. Kupasan ini menyentuh konsep nafkah menurut syariat Islam, termasuk tanggungjawab memberi nafkah dan hak pihak yang menerimanya, agar kehidupan berkeluarga dapat dibina dengan lebih adil, bertanggungjawab dan teratur.


11.8.26 - Yakin Berbicara - Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan

Kaedah fiqh “Asas pembinaan pengakuan adalah mengguna pakai keyakinan, membuang keraguan, dan tidak mengguna pakai kebiasaan sangkaan umum” menegaskan bahawa setiap pengakuan lisan adalah berteraskan keyakinan yang pasti dan membuang sebarang keraguan mahupun andaian semata-mata. Dalam kehidupan bermasyarakat, prinsip ini menjadi panduan penting apabila berlaku pertikaian harta atau perbalahan keluarga akibat lafaz pengakuan yang samar. Dengan mengambil tafsiran paling minimum, pasti, dan terhad kepada apa yang dilafazkan sahaja, Islam memelihara keadilan masyarakat daripada manipulasi sangkaan, salah faham pemilikan, serta tuntutan berlebihan yang tidak jelas.


10.8.26 - Musa AS Di Bumi Madyan - Ustaz Amirul Amin

Kisah Nabi Musa AS selepas meninggalkan Mesir dan menuju ke bumi Madyan memperlihatkan bagaimana sebuah fasa sukar boleh menjadi permulaan kepada kehidupan yang lebih baik. Peristiwa di perigi Madyan turut menonjolkan sifat prihatin, keberanian serta kesediaan membantu tanpa mengharapkan balasan. Daripada kisah ini, konsep Al-Qawiyyu Al-Amin — kuat dan amanah — menjadi teladan dalam membentuk peribadi yang berintegriti. Ujian dan kegagalan bukan semestinya pengakhiran, sebaliknya boleh menjadi jalan kepada kematangan, rezeki dan peluang baharu dengan izin Allah SWT.


9.8.26 - Ilmu Sebelum Amal - Ustaz Ahmad Fuad Mokhtar

Imam al-Ghazali menggariskan tujuh halangan utama yang perlu ditempuhi dalam perjalanan ibadah, dengan ilmu sebagai halangan pertama yang paling asas. Tanpa ilmu yang benar, seseorang mudah tersilap dalam beramal dan terdedah kepada perkara yang boleh menjejaskan ibadah serta kehidupan. Perkongsian ini mengupas kepentingan ilmu sebagai panduan dalam beribadah, membezakan antara yang hak dan batil serta membentuk kehidupan seorang Muslim yang lebih terarah.


8.8.26 - Cinta Kepada Rasul - Ustaz Dr. Shamsul Hakim Abd Samad

Hakikat kesempurnaan iman seseorang manusia terletak pada kesediaannya untuk meletakkan rasa cinta dan kasih yang paling tinggi kepada sosok pembawa kebenaran iaitu Nabi Muhammad SAW di atas segala-galanya, termasuklah ahli keluarga terdekat dan seluruh umat manusia. Cinta yang agung ini merangkumi segala bentuk kasih sayang sama ada atas dasar penghormatan, belas kasihan, mahupun keakraban, yang seterusnya dizahirkan melalui kesetiaan untuk mempertahankan kebenaran dan berkorban demi kebaikan. Pada peringkat sosial, penanaman cinta yang suci ini amat penting kerana ia mampu menyatukan hati setiap individu, memadamkan api permusuhan, serta melahirkan sebuah masyarakat yang saling menghormati, bertanggungjawab, dan hidup harmoni di bawah satu payung nilai yang sama.


7.8.26 - Perempuan Yang Diuji - Ustaz Mohd Azli Abdullah

Perempuan Yang Diuji mengangkat pengajaran daripada Surah al-Mumtahanah ayat 10–11 tentang keimanan, maruah dan keteguhan prinsip seorang wanita ketika berdepan ujian hidup. Dalam realiti masa kini, wanita sering diuji dengan tekanan sosial, hubungan, kerjaya dan cabaran mempertahankan nilai agama. Ayat ini mengajar bahawa setiap ujian perlu dihadapi dengan iman, hikmah dan kepatuhan kepada syariat. Kefahaman terhadap mesej ini menjadi ilmu yang sangat penting agar generasi hari ini mampu membina jati diri yang kukuh dan membuat keputusan berlandaskan petunjuk Allah, bukan semata-mata mengikut arus zaman


6.8.26 - Menjiwai Keagungan Al-Quran - Ustaz Hanafiah Abdul Malek

Al-Quran merupakan mukjizat agung yang dikurniakan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan menjadi panduan hidup umat Islam sepanjang zaman. Keistimewaannya bukan sahaja terletak pada keindahan bahasa, malah pada kandungan yang membimbing manusia dalam soal akidah, ibadah, akhlak dan kehidupan. Perkongsian ini mengupas keagungan mukjizat al-Quran serta peranannya sebagai sumber ilmu dan kebenaran. Penghayatan terhadap wahyu Allah mampu memperkukuh akidah, membentuk pemikiran yang benar serta menjadi pedoman dalam menghadapi cabaran dan pengaruh kehidupan moden.


5.8.26 - Hukum Hakam Iddah - Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre

Iddah ialah tempoh yang diwajibkan kepada seorang wanita selepas perceraian atau kematian suami mengikut ketetapan syariat Islam. Pensyariatannya bukan sekadar tempoh menunggu, malah bertujuan memelihara maruah, nasab, hak serta keharmonian institusi kekeluargaan. Perkongsian ini menjelaskan hukum-hakam iddah, tempoh pelaksanaannya serta hikmah di sebalik pensyariatannya agar masyarakat lebih memahami dan mengamalkannya dengan tepat mengikut tuntutan syarak.


4.8.26 - Kaedah Bebas Tanggungan - Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan

Kaedah fiqh "Al-Aslu Bara'ah al-Zimmah" mengajar masyarakat bahawa secara asasnya seseorang itu bebas daripada sebarang tanggungan kewangan atau tuntutan kewajipan. Dalam kefahaman kehidupan bermasyarakat, kaedah ini menjadi benteng keadilan bagi melindungi individu daripada bebanan tuntutan ganti rugi yang melampau serta pertikaian hutang yang tidak pasti. Dengan menetapkan bahawa sebarang beban kewangan wajib dibuktikan dengan pasti, Islam memelihara hak setiap pihak daripada kezaliman, tuduhan tanpa asas, dan spekulasi kewangan yang tidak adil. Kaedah asal bebas tanggungan pada tuntutan ganti rugi: ●kemalangan/kecederaan.


3.8.26 - Lembu Bani Israil - Ustaz Izmir Fareez

Kisah penyembelihan lembu betina dalam Surah Al-Baqarah bermula daripada satu peristiwa pembunuhan yang tidak diketahui pelakunya dalam kalangan Bani Israel. Allah SWT memerintahkan Nabi Musa AS agar kaumnya menyembelih seekor lembu betina, namun mereka berulang kali mempersoalkan perintah tersebut sehingga menyukarkan urusan sendiri. Peristiwa ini memperlihatkan akibat sikap suka berdalih, ragu-ragu dan enggan mematuhi perintah Allah. Mukjizat yang menghidupkan semula mangsa pembunuhan untuk mendedahkan pelaku menjadi bukti kekuasaan Allah SWT, di samping mengajar umat Islam tentang kepentingan ketaatan, kejujuran dan menjauhi sikap keras hati.


2.8.26 - Teras Kebahagiaan Keluarga - Ustaz Mohd Elyas Ismail

Pemilihan pasangan hidup merupakan asas kepada pembentukan rumah tangga yang bahagia dan berkekalan. Islam menggariskan kepentingan memilih pasangan yang memiliki akhlak mulia, pegangan agama yang kukuh serta sifat amanah, jujur dan bertanggungjawab sebagai bekalan dalam melayari kehidupan berkeluarga. Rumah tangga yang dibina atas nilai iman dan akhlak akan menjadi tempat lahirnya generasi yang berilmu, berakhlak dan saling menghormati. Pemilihan pasangan yang tepat bukan sahaja membawa kebahagiaan kepada keluarga, malah menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera.


1.8.26 - Safar & Khurafat - Ustaz Dato' Mohd Fauzi Mustaffa

Safar & Khurafat membincangkan salah faham masyarakat yang mengaitkan bulan Safar dengan kesialan, bala dan pantang larang tertentu seperti tidak boleh berkahwin, berpindah rumah atau memulakan sesuatu urusan. Turut termasuk amalan mandi Safar, upacara menolak bala, penggunaan tangkal atau azimat serta penyebaran hadis dan kepercayaan palsu di media sosial yang tidak bersandarkan dalil. Hakikatnya, Rasulullah SAW menolak kepercayaan bahawa bulan Safar membawa sial, sebaliknya Islam mengajar umatnya agar berpegang kepada akidah yang sahih, berikhtiar, berdoa dan bertawakal kepada Allah, kerana hanya Allah SWT yang menentukan segala manfaat dan mudarat.





                                                                                         Isi Kandungan