8.11.26 - Nikmat Yang Menduga - Ustaz Nabil Ahmad
8.11.26 - Nikmat Yang Menduga - Ustaz Nabil Ahmad
Nikmat yang dikurniakan Allah SWT juga merupakan satu ujian buat hamba-Nya. Kupasan ini mengajak kita memahami bagaimana mensyukuri nikmat dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya agar tidak menjadi sebab kelalaian dalam kehidupan.
7.11.26 - Jeritan Penyesalan - Ustaz Mohammad Yaakub Yusra
Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, namun penyesalan yang lahir dari hati yang benar-benar insaf mampu membuka pintu keampunan Allah. “Jeritan Penyesalan” mengingatkan kita bahawa sebesar mana pun dosa, rahmat Allah sentiasa lebih luas. Jangan biarkan penyesalan menenggelamkan diri dalam rasa bersalah, sebaliknya jadikan ia kekuatan untuk berubah dan kembali ke jalan-Nya dengan hati yang lebih tenang dan bersih.
6.11.26 - Bangkit Beri Peringatan - Ustaz Mohd Azli Abdullah
Kadangkala, kita terlalu sibuk membetulkan orang lain hingga terlupa bahawa diri sendiri juga perlu berubah. Surah al-Muddaththir ayat 1 hingga 7 mengajak kita bangkit daripada kelalaian, membersihkan diri dan berani menyampaikan kebaikan. Persoalannya, beranikah kita menjadi suara yang mengingatkan orang lain, sedangkan kita sendiri masih bertatih memperbaiki diri?
5.11.26 - Selami Titik Terendah - Ustaz Hanafiah Abdul Malek
Membincangkan detik apabila kehidupan terasa semakin sukar akibat masalah kewangan, konflik keluarga, kehilangan pekerjaan atau pengkhianatan orang yang dipercayai. Kupasan turut menyentuh persoalan mengapa seseorang diuji, keletihan memendam masalah dan perasaan terpaksa berpura-pura kuat di hadapan orang lain. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 155–157, yang menjelaskan bahawa manusia akan diuji dengan ketakutan, kelaparan serta kekurangan harta dan jiwa, manakala orang yang sabar diberikan khabar gembira. Selain itu, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa urusan orang beriman itu mengandungi kebaikan; apabila mendapat kesenangan, dia bersyukur, dan apabila ditimpa kesusahan, dia bersabar (Riwayat Muslim, no. 2999). Nas-nas ini menjadi asas untuk membincangkan cara menghadapi ujian dengan sabar tanpa menafikan kesedihan, berusaha mencari penyelesaian, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT. Meminta bantuan bukan tanda kelemahan, sebaliknya sokongan keluarga, sahabat dan masyarakat boleh menjadi jalan untuk seseorang bangkit semula daripada titik terendah kehidupannya
4.11.26 - Kenali Nabi: Pemakanan Rasulullah SAW - Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre
Dalam dunia yang sering mengejar makanan sedap, viral dan trending, sejauh mana cara kita makan mencerminkan sunnah Rasulullah SAW? Kupasan ini mengajak kita memahami pemakanan Baginda bukan sekadar tentang menu, tetapi juga pilihan makanan, adab ketika makan dan sikap tidak berlebihan sebagai didikan untuk lebih bersyukur serta menghargai nikmat Allah.
3.11.26 - Kehidupan Ahli Syurga - Ustaz Dr. Shamsul Hakim Abd Samad
Syurga merupakan destinasi akhir yang diimpikan oleh setiap insan beriman, tempat Allah menyediakan pelbagai nikmat dan kebahagiaan yang tidak dapat dibandingkan dengan kehidupan di dunia. Gambaran tentang keindahan syurga bukan sekadar membangkitkan kerinduan terhadap kehidupan akhirat, bahkan mengingatkan kita bahawa kehidupan dunia ialah ruang untuk mempersiapkan diri menuju negeri yang kekal. Melalui perkhabaran Rasulullah SAW tentang keadaan penghuni syurga, kita diajak menghayati betapa sempurnanya nikmat yang menanti orang beriman, termasuk kehidupan yang dipenuhi kedamaian, kebersihan hati dan kebahagiaan tanpa penghujung. Sejauh manakah gambaran nikmat syurga ini dapat menyuburkan harapan, menguatkan iman dan mendorong kita menjalani kehidupan di dunia dengan lebih baik? Sabda Rasulullah SAW: “Kumpulan pertama yang masuk syurga adalah seperti rupa bulan pada malam purnama, dan orang-orang yang menyusuli mereka adalah seperti bintang yang paling terang cahayanya. Hati mereka berada di atas hati seorang lelaki (bersatu hati), tiada perselisihan dan tiada perasaan saling membenci sesama mereka. Bagi setiap seorang daripada mereka terdapat dua orang isteri, yang setiap seorang daripadanya dapat dilihat sumsum betisnya dari sebalik dagingnya kerana kecantikannya. Mereka bertasbih kepada Allah pada waktu pagi dan petang, mereka tidak jatuh sakit, tidak membuang hingus, dan tidak meludah. Bekas-bekas (peralatan) mereka daripada emas dan perak, sikat-sikat mereka daripada emas, bahan bakar tempat pembakar wangian mereka daripada kayu gaharu -berkata Abu al-Yaman: iaitu gaharu-, dan peluh mereka adalah kasturi.” [HR al-Bukhari, 3246]
2.11.26 - Jalan Menuju Syurga - Ustaz Dr. Hj Hafiz Haneefa
Menempuh jalan ilmu merupakan salah satu jalan menuju keredaan dan syurga Allah SWT. Sesiapa yang berusaha mencari ilmu serta berkumpul di mana-mana tempat untuk mempelajari al-Quran dan sunnah akan dikurniakan ketenangan jiwa, dinaungi malaikat, serta dijauhkan daripada gangguan syaitan. Keutamaan ini tidak terbatas kepada golongan tertentu tetapi terbuka kepada sesiapa sahaja yang ikhlas mencari ilmu. Melalui ilmu, Allah SWT mengangkat darjat hamba-Nya, menghapus dosa, dan membuka jalan rahmat dari segala arah, manakala mereka yang lalai atau malas beramal kehilangan peluang untuk mencapai ketinggian maqam di sisi Allah.
1.11.26 - Syaitan Musuh Abadi - Ustaz Ahmad Fuad Mokhtar
Perjalanan ibadah menuntut kita menghadapi pelbagai halangan, termasuk tipu daya syaitan yang boleh melemahkan jiwa dan mencemari keikhlasan amal. Keteguhan akidah, kewaspadaan terhadap bisikan hati, serta amalan zikir dan isti‘azah menjadi antara usaha untuk memelihara diri daripada godaan tersebut. Mengatasi cabaran ini juga penting dalam membentuk masyarakat yang teguh berprinsip, bersatu hati dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah serta adu domba.