Tanya lah Ustaz
- Ogos 2025
Kemerdekaan negara bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi lebih mendalam apabila rakyat mampu membentuk jati diri, bersatu, dan hidup dengan maruah. Dalam pendekatan Islam, kebebasan hakiki ialah apabila hati dibebaskan daripada sifat tamak, hasad dan hawa nafsu yang menjerat jiwa. Inilah erti merdeka yang sebenar — bukan hanya pada bendera yang berkibar, tetapi pada jiwa yang tunduk kepada kebenaran, berakhlak, dan saling menghormati. Maka, kemerdekaan akan lebih bermakna apabila ia dihayati sebagai amanah untuk membina bangsa yang sejahtera, adil, dan penuh kasih sayang.
Merdeka hari ini bukan lagi tentang senjata dan tembakan, tapi tentang siapa yang menguasai hati dan pemikiran kita. Era moden memperkenalkan satu bentuk penjajahan yang lebih halus seperti tidak kelihatan, tetapi meresap masuk ke dalam jiwa. Kita fikir kita bebas, tapi realitinya kita masih terjajah. Dalam episod ini, Ustaz Yaakub Yusra akan mengupas bagaimana penjajahan moden sedang merampas iman, jati diri dan arah hidup umat Islam terutama generasi muda.
Saidina Abu Bakar As-Siddiq, sahabat Nabi Muhammad SAW, dikenali dengan sifat kedermawanan, keikhlasan dan mendahului dalam segala kebaikan. Beliau antara sahabat yang bersama dalam kisah perjuangan dakwah bersama Rasulullah, kepayahan serta keperitan dalam meneruskan misi dakwah menyeru kepada mentauhidkan Allah SWT. Selain itu, beliau sentiasa mendahului sahabat lain dalam amal soleh seperti sedekah,dakwah menunjukkan komitmen tinggi kepada agama Islam. Peribadi beliau yang mulia mengajarkan kita untuk berlumba-lumba dalam kebaikan, menjadikannya contoh terbaik menjadikan beliau contoh dalam hidup beragama dan mendekatkan diri kepada Allah.
Menyelami keindahan dan keagungan ayat-ayat Allah yang terkandung dalam Surah Ar-Rum ayat 20 hingga 25. Ayat-ayat yang memperlihatkan tanda-tanda kebesaran Allah melalui penciptaan manusia, perbezaan bahasa dan warna kulit, alam langit dan bumi, serta rasa kasih sayang antara suami isteri.
Kupasan ini akan mengetuk hati penonton untuk kembali merenung bahawa segala yang ada di sekeliling kita bukanlah kebetulan, sebaliknya bukti nyata keesaan dan kekuasaan Allah SWT. Dalam dunia moden yang sering melalaikan dan melupakan Tuhan, ayat-ayat ini menjadi peringatan bahawa fitrah manusia ialah tunduk kepada Pencipta.
Kewajipan bersolat tertakluk kepada setiap individu muslim yang cukup syaratnya. Namun, dalam kehidupan seseorang tidak dapat lepas lagi dari melaksanakan tanggungjawab. Persoalan dan isu yang selalu timbul ialah kena qada atau ulang sahaja solat. Hal ini perlu penjelasan kerana ia berkait rapat dengan taklif seseorang sama ada perlu disegerakan atau boleh ditangguhkan, keadaan yang dibenarkan mengulangi solat, mengqadakan solat dalam keadaan tidak pasti bilangan yang ditinggalkannya dan lain-lain lagi.
Adab adalah asas segala ilmu. Dalam Islam, adab mesti mendahului ilmu, kerana tanpa adab, ilmu akan melahirkan keangkuhan, bukan hikmah. Keluarga membentuk adab sejak kecil, manakala guru menyempurnakannya dengan bimbingan. Kisah Nabi Musa
dan Nabi Khidir mengajar kita bahawa adab terhadap guru adalah sangat penting. Adab juga bukan hanya sesama manusia, tetapi juga terhadap ilmu, pekerjaan, masyarakat dan kepada Pencipta iaitu Allah SWT. Bahkan pengutusan Rasulullah SAW kepada umat manusia adalah untuk memperelokkan akhlak. Kesan adab yang baik membentuk peribadi yang baik jika dididik dari kecil dan kesannya sehingga penghujung usia.
Mengupas persoalan berkaitan dosa yang melibatkan hubungan sesama manusia, termasuk hak-hak yang sering diabaikan serta akibatnya di dunia dan akhirat. Perbincangan ini memberi penekanan bahawa dosa terhadap Allah SWT boleh diampunkan dengan taubat, namun dosa sesama manusia memerlukan penyelesaian melalui permohonan maaf dan pengembalian hak.
Ilmu agama hari ini sangat mudah dicapai. Kuliah hanya di hujung jari, ceramah pendek muncul setiap hari. Tapi persoalannya adakah ilmu itu mengubah kita, atau sekadar jadi pengetahuan kosong? Islam mengajar bahawa ilmu adalah amanah, dan apabila seseorang itu tahu sesuatu kebenaran tapi tidak beramal dengannya, dia berisiko menjadi golongan yang dimurkai Allah. Tazkirah ini akan membongkar betapa ilmu yang tidak diamalkan boleh menjadi fitnah dan azab, serta bagaimana untuk menjadikan ilmu sebagai cahaya yang menyelamatkan kita di dunia dan akhirat.
Syukur bukan sekadar ucapan “Alhamdulillah”, tetapi rasa redha dan bersyukur terhadap nikmat yang Allah kurniakan, sama ada besar atau kecil. Dalam kehidupan moden yang penuh cabaran, kita sering terleka mengejar apa yang tiada sehingga lupa menghargai apa yang sudah ada. Dengan belajar erti syukur, hati menjadi lebih tenang, rezeki terasa cukup, dan hubungan sesama manusia juga lebih harmoni. Islam mengajar bahawa syukur adalah kunci kepada keberkatan hidup – semakin kita bersyukur, semakin Allah tambahkan nikmat. Mari bersama-sama memupuk jiwa agar sentiasa bersyukur dan tidak mudah merasa kurang.
Bayangkan suatu pagi, dunia menjadi sunyi, Burung-burung tidak berkicau seperti biasa. Udara terasa aneh, seperti ada sesuatu yang besar akan berlaku. Tiba-tiba, di ufuk barat — bukan timur — kita melihat cahaya jingga memancar, matahari terbit dari arah barat. Seluruh manusia terdiam. Tiada siapa bergerak. Telefon pintar dan media sosial penuh dengan video dan gambar fenomena itu. Saintis tergesa-gesa membuat kajian, tetapi jawapannya tetap satu bagi orang beriman: inilah tanda besar kiamat yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya.
Azan bukan sekadar panggilan untuk solat, tetapi mempunyai makna yang lebih mendalam dalam kehidupan umat Islam. Ia menjadi tanda kebesaran Allah, menyeru manusia kembali mengingati-Nya di tengah kesibukan dunia. Di sebalik lafaz azan, terkandung hikmah yang mengajak kepada kesatuan, mengukuhkan identiti umat, serta menenangkan hati pendengar dengan kalimah tauhid. Syariat azan juga melambangkan rahmat Allah yang mahu hamba-Nya tidak lalai, sebaliknya sentiasa terikat dengan waktu ibadah dan ketenangan rohani.
Agama Islam sebagai motivasi hidup seorang Muslim kerana ia memberi panduan yang jelas, berpaksikan wahyu dan janji Allah yang pasti. Tidak seperti fahaman Barat yang berasaskan ideologi kosong tanpa sandaran akhirat, motivasi Islam membina kekuatan jiwa dengan iman, sabar, syukur dan redha. Seorang Muslim yakin bahawa setiap usaha dinilai, setiap ujian ada ganjaran, dan setiap langkah menuju Allah tidak sia-sia. Inilah motivasi tertinggi yang membawa ketenangan dan tujuan hidup yang sebenar.
Kucing dianggap haiwan kesayangan dan dekat dengan kehidupan seharian umat Nabi Muhammad SAW. Rasulullah sendiri menyayangi kucing dan melayani haiwan ini dengan penuh kasih. Maka, tanggungjawab terhadap kucing bukan sekadar memelihara, tetapi juga melaksanakan amanah Allah untuk berlaku ihsan kepada makhluk-Nya. Menjaga kebajikan haiwan adalah cerminan akhlak seorang Muslim yang sempurna dalam melaksanakan tanggungjawabnya di dunia.
Cintakan harta dan kedudukan sering menyebabkan kita terlupa tujuan hidup yang sebenar, iaitu untuk beribadah kepada Allah dan mencari keredaan-Nya. Kecintaan berlebihan terhadap dunia menjadikan kita cenderung untuk mengejar kekayaan dan kedudukan dengan cara yang tidak halal, malah mengabaikan akhlak dan moral. Di dunia ini, segala yang kita miliki hanyalah pinjaman, dan tiada yang lebih mulia selain daripada mendapatkan keredaan Allah.
Kesucian bahan daripada haiwan seperti tulang, kulit, gading, dan rambut adalah penting kerana ia boleh mempengaruhi sah atau batalnya sesuatu ibadah. Perkara ini bukan sahaja melibatkan bahan yang dipakai, malah juga yang digunakan dalam kehidupan harian seperti sikat gading atau penyapu bulu haiwan. Status kesuciannya bergantung kepada jenis haiwan serta cara kematiannya, dan hendaklah dirujuk kepada panduan hukum syarak.
Berpegang pada prinsip “Solat tiang agama”, menjaga waktu solat adalah tanda ketaatan dan kecintaan kepada Allah SWT. Setiap waktu solat ditetapkan dengan hikmah, mengatur kehidupan seorang Muslim agar sentiasa mengingati-Nya. Dalam kesibukan dunia, solat menjadi jeda yang menenangkan jiwa, menghubungkan hati dengan Pencipta. Apabila kita menjaga waktunya, kita bukan hanya memenuhi kewajipan, tetapi juga meraih keberkatan, ketenangan, dan disiplin hidup. Solat tepat waktu adalah kunci hati yang tenteram dan kehidupan yang teratur, kerana di situlah letaknya rahmat dan redha Allah.
Segelintir masyarakat amat sensitif apabila berbicara tentang soal jodoh. Namun, hakikatnya, kadar peningkatan bilangan individu bujang di Malaysia kini berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia. Pelbagai faktor menjadi punca kepada fenomena ini, antaranya isu kewangan, tuntutan kerjaya dan pendidikan, pengaruh keluarga, serta lain-lain sebab yang berkaitan. Situasi ini wajar dibincangkan dari sudut pandang agama, kerana Islam telah menyediakan garis panduan serta penyelesaian yang jelas dalam hal ini.
Takwa adalah kunci kepada ketenangan jiwa. Apabila hati sentiasa mengingati Allah, setiap ujian terasa ringan, setiap nikmat disyukuri. Dalam takwa, kita menemukan damai yang tidak dapat dibeli, kerana ia hadir bersama keyakinan bahawa segala yang berlaku adalah dalam perancangan-Nya yang penuh hikmah.
Topik akan menelusuri Surah Al-Maa'uun yang merujuk kepada orang yang melakukan solat tetapi tidak dengan khusyuk, atau menunda-nunda waktu solat, dan menjadikannya sekadar rutin kosong. Juga ibadah yang dilakukan bukan kerana Allah, tetapi untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia.
Golongan ini terlalu kedekut hingga enggan memberi pinjam barang-barang kecil, seperti alatan dapur atau keperluan harian – walaupun tidak memberi kerugian kepada mereka.
Sungguhpun, Islam sangat menekankan akhlak, termasuk sikap terhadap anak yatim, fakir miskin, dan jiran tetangga.Bersikap kedekut walaupun dalam perkara kecil adalah tanda hati yang keras dan tidak ikhlas.
Kekayaan sebenar bukan diukur pada banyaknya harta, tetapi pada kaya jiwa — rasa cukup, tenang, dan tidak bergantung kepada manusia.
Sabda Nabi SAW:
"Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan yang sebenar ialah kaya jiwa."
(Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Orang yang benar-benar kaya ialah mereka yang bersyukur, gemar memberi, dan tidak takut miskin kerana yakin rezeki datang daripada Allah.
Bagi mereka, harta hanyalah alat — bukan matlamat.
Siapakah golongan Ibadurrahman yang disebut secara khusus dalam Surah al-Furqan ayat 63 hingga 77 serta mengapa mereka menjadi dambaan setiap hamba yang ingin meraih syurga?
Ibadurrahman bukan sekadar hamba Allah biasa, tetapi mereka memiliki ciri-ciri istimewa seperti rendah hati, pemaaf, kuat beribadah, menjauhi dosa besar, dan memelihara diri daripada kesia-siaan.
Bagaimana untuk menjadikan diri sebahagian daripada golongan mulia ini dengan menilai semula akhlak, ibadah dan gaya hidup seharian. Dalam suasana dunia hari ini yang sarat dengan fitnah, kemaksiatan dan kelalaian, ciri-ciri Ibadurrahman adalah kompas selamat menuju syurga, terutama dalam mendidik hati dan keluarga.
Solat ialah ibadah yang ditetapkan waktunya. Solat di awal waktu ialah menunaikannya sebaik masuk waktu kerana ia paling utama. Penjelasan waktu-waktu tertentu yang dikaitkan dengan syaitan berkeliaran seperti maghrib dari sudut syariat, kewajipan menunaikan solat sama ada muwassa’ atau mudayyak serta keadaan solat yang tertinggal kerana uzur seperti pitam atau kemalangan.
Ihsan bermaksud melakukan sesuatu dengan sebaik-baiknya, dengan kesedaran bahawa setiap perbuatan diperhatikan oleh Allah. Ia merangkumi bukan sahaja hubungan dengan Tuhan, tetapi juga dengan sesama manusia. Dalam kehidupan seharian, ihsan mengajar kita untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan kualiti terbaik, demi kebaikan diri sendiri dan orang lain.
Ibumu adalah syurgamu. Namun, bagaimana sekiranya seorang ibu yang sepatutnya menjadi sumber kasih sayang, perlindungan dan ketenangan berubah menjadi punca kepada tekanan emosi, trauma, dan kerosakan kendiri seorang anak? Persoalannya, apakah had ketaatan seorang anak kepada ibu? Adakah setiap tindakan ibu wajib diterima tanpa bantahan walaupun mendatangkan mudarat? Apa pula hukum apabila kasih sayang dijadikan alat untuk mengawal, menekan atau menyakiti? Dan bagaimana pula kedudukan si anak yang ingin mempertahankan diri tanpa tergolong dalam golongan yang derhaka? Tazkirah ini mengangkat satu topik yang jarang dibincangkan secara terbuka iaitu tentang ibu yang, secara tidak sedar atau sebaliknya, menyalahgunakan peranan dan kedudukannya sehingga memberi kesan buruk terhadap perkembangan emosi dan mental anak.