Monday, June 2, 2025

Tanya lah Ustaz - Jun 2025

                                                                                                     Isi Kandungan



 Tanya lah Ustaz 
- Jun 2025





Persahabatan adalah anugerah berharga yang mampu membawa seseorang sama ada lebih dekat atau lebih jauh dari jalan Allah. Dalam kehidupan yang penuh ujian, sahabat sejati ialah mereka yang bukan hanya bersama di waktu senang, tetapi juga membimbing, menasihati dan mengingatkan kita ketika lalai. Persahabatan yang berlandaskan iman dan takwa membawa ketenangan dan menjadikan kita lebih dekat kepada Allah. Ia bukan sekadar hubungan dunia, tetapi bekalan akhirat. Sahabat yang soleh akan mendoakan kita, menegur dengan hikmah, dan bersama menempuh jalan menuju syurga.



Islam mengajarkan umatnya untuk menjauhi perkara-perkara yang tidak memberi manfaat, termasuk percakapan atau perbuatan yang sia-sia. Sebagai seorang Muslim, kita dituntut untuk memelihara adab, kesopanan, dan berusaha melakukan perkara yang bermanfaat sepanjang hidup kita. Melalui ini, kita dapat menghindari kebiasaan buruk yang menghalang diri dari mencapai tujuan hidup yang sebenar. Mengisi waktu dengan perkara yang baik adalah salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah dan meningkatkan kualiti hidup.



Dukhan merupakan salah satu daripada tanda-tanda besar kiamat yang disebut dalam al-Quran dan hadis. Perkataan dukhan berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud asap yang merujuk kepada asap tebal yang akan meliputi seluruh bumi, menjelang saat-saat akhir dunia. Ia merupakan peristiwa yang sangat dahsyat dan menakutkan, serta menjadi peringatan terakhir kepada manusia sebelum kiamat benar-benar terjadi.



Awal Muharam menandakan bermulanya tahun baharu dalam kalendar Islam. Setiap kali menjelang tahun baru, pastinya kita memasang azam baharu sebagai usaha memperbaiki diri. Inilah masanya untuk kita melakukan ‘reset diri’ — menyusun semula niat, memperbetul amalan dan melangkah dengan semangat yang lebih baik. Jom kita ikuti diskusi menarik mengenai konsep ‘reset diri’ ini bersama Dai Annas dan Ustaz, yang pastinya akan memberikan pencerahan dan inspirasi buat kita semua.



Kejujuran merupakan asas utama dalam pembentukan akhlak mulia dan menjadi kunci kepada kebahagiaan yang abadi. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda bahawa: "Sesungguhnya kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan itu membawa ke syurga." Sifat jujur bukan sahaja membina kepercayaan dalam diri seseorang, malah membentuk peribadi yang luhur. Ia turut memberi kesan positif dalam hubungan sesama manusia serta memperkukuh hubungan dengan Allah SWT.



Setiap penghijrahan pasti didahului dengan cabaran. Begitu juga Rasulullah SAW dan para sahabat, yang menghadapi tekanan, penghinaan, penindasan dan dugaan hebat sebelum berhijrah ke Madinah. Namun, kesabaran dan keimanan mereka menjadi kekuatan untuk melangkah ke fasa yang lebih baik. Dalam kehidupan kita juga, setiap perubahan ke arah kebaikan pasti diuji. Jangan gentar dengan ujian sebelum hijrah, kerana di sebalik payah, ada ganjaran yang besar menanti. Hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi perubahan hati menuju redha Ilahi.



Apabila umat tidak lagi mendekati ilmu, dan ulama’ tidak dihargai, maka gelaplah arah kehidupan. Umat yang jahil mudah terpengaruh, lemah dalam prinsip dan terdedah kepada fitnah zaman. Ketiadaan ulama’ sebagai pembimbing akan menjadikan masyarakat hilang pedoman. Ilmu bukan sekadar untuk tahu, tetapi untuk membina iman, akhlak dan tamadun. Marilah kita kembali menghargai ilmu dan para ilmuwan – kerana di situlah terletaknya cahaya yang membimbing kita ke jalan yang benar.





Setiap amal perbuatan yang dilakukan oleh seseorang mestilah disertai dengan niat yang ikhlas serta dilaksanakan mengikut ajaran Islam yang sebenar. Sesuatu amalan hanya akan diterima oleh Allah sekiranya dilakukan dengan cara yang betul dan menepati syariat. Sebaliknya, perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama, seperti melakukan perkara yang diharamkan, boleh menjadi penghalang kepada diterimanya doa dan amal seseorang. Justeru, amat penting untuk sentiasa memelihara setiap aspek kehidupan agar sentiasa berada dalam batasan yang halal dan mendapat keredaan Allah.



Dalam Surah Al-Humazah, Allah SWT menyebutkan golongan yang celaka adalah mereka yang suka mengumpat dan mencela orang lain. Golongan ini juga digambarkan sebagai orang yang gemar mengumpul harta dan menyangka harta itu akan mengekalkan mereka. Surah Al-Humazah mengingatkan kita bahawa harta dan kedudukan dunia tidak akan memberikan kekekalan. Sebaliknya, sifat-sifat tercela seperti mengumpat dan mencela akan membawa kebinasaan.



Subuh terakhir Umar Al-Khattab menjadi detik yang penuh keberkatan dan sarat pengajaran dalam sejarah Islam. Pada pagi itu, khalifah kedua umat Islam ini sedang menunaikan solat Subuh di masjid, tanpa menyangka itulah solat terakhirnya di dunia. Umar, yang terkenal dengan keberanian, ketegasan dan keadilannya, tiba-tiba diserang oleh seorang lelaki yang berdendam. Dalam keadaan cedera parah, beliau tetap tabah dan sempat berpesan agar umat Islam terus bersatu serta memegang teguh amanah kepimpinan. Kisah Subuh terakhir Umar Al-Khattab terus dikenang sebagai inspirasi abadi – bahawa kepimpinan dalam Islam bukan sekadar kuasa, tetapi satu amanah besar yang ditanggung dengan penuh keikhlasan dan rasa tanggungjawab kepada Allah dan umat manusia.



Setiap hela nafas dan pertambahan usia adalah nikmat serta amanah daripada Allah SWT. Semakin bertambah umur, semakin dekat kita dengan akhirat. Maka, manfaatkanlah usia yang ada dengan amalan yang memberi nilai pahala – beribadah, menuntut ilmu, menyebar kebaikan dan memberi manfaat kepada orang lain. Usia yang diberkati bukan dinilai pada panjangnya, tetapi sejauh mana ia diisi dengan amal soleh dan keikhlasan. Jadikan setiap detik kehidupan sebagai peluang meraih redha-Nya. Kerana umur yang digunakan dengan sebaiknya, itulah sebenar-benar kejayaan.


18.6.25 - Keteguhan Doa Zakaria , Ustaz Afifi Shukril Naaim



Hijrah diri merupakan satu perubahan ke arah kebaikan yang menuntut azam yang teguh, tawakal kepada Allah, dan pengorbanan yang besar. Seperti mana hijrah Nabi Muhammad SAW dan Nabi Musa AS, ia memerlukan keberanian untuk meninggalkan sesuatu yang penting demi mencari keredhaan Allah. Ada kalanya, seseorang berubah daripada keadaan yang baik kepada yang sebaliknya. Namun, dengan niat yang ikhlas dan sokongan iman, hijrah boleh menjadi titik tolak untuk kembali ke jalan yang benar. Tahun baru adalah peluang terbaik untuk memulakan langkah baharu dengan semangat, harapan dan istiqamah dalam mengejar redha-Nya.









Manusia sering kali lupa pelbagai nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Nikmat itu tetap mengalir tanpa henti – daripada rezeki harian, kesihatan, hingga ke hidayah iman. Semoga kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur atas kurniaan-Nya.



Tanyalah Ustaz hari ini membawakan bacaan dan tafsiran Ayat Al-Quran Surah Al-Qasas Ayat 14-19 oleh bintang ilmuan jemputan. Dengarkan perkongsiannya secara terperinci bersama Da'i Luqman.



Kisah Nabi Ismail a.s. mengangkat martabat seorang anak yang taat tanpa syarat. Dalam sejarah Aidiladha, beliau menjadi lambang keteguhan iman dan ketaatan luar biasa kepada Allah dan ayahandanya, Nabi Ibrahim a.s. Tanpa ragu, baginda bersedia menerima perintah pengorbanan dengan hati yang redha. Sikap patuh Nabi Ismail bukan sekadar teladan buat anak-anak, malah mencerminkan nilai akhlak mulia yang perlu disemai dalam institusi keluarga. Marilah kita contohi keteladanan Nabi Ismail dalam membina generasi berakhlak, sabar dan bertakwa.


Nafkah wajib diberikan kepada semua yang memerlukan, daripada isteri, anak, ibu bapa, dan kaum kerabat jika seseorang berkemampuan untuk memberi nafkah kepada kesemua mereka, dan apabila kaum kerabat itu memang memerlukan kepada bantuan. “Barang siapa mengeluarkan hartanya untuk keperluan kedua anak perempuannya, kedua saudara perempuannya atau kepada dua orang kerabat perempuannya dengan mengharap pahala dari Allah, lalu Allah mencukupi mereka dengan karunianya, maka amalan tersebut akan membentengi dirinya dari neraka.” (HR. Ahmad 6: 293. Dari ummu Salamah)



Allah SWT berfirman dalam Surah al-A‘raf (56) yang bermaksudnya: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.” Alam ini adalah amanah dari Allah SWT. Oleh itu, sebagai khalifah di muka bumi, kita dipertanggungjawabkan untuk memelihara dan tidak merosakkannya. Menjaga alam bukan sekadar pilihan, tetapi tuntutan dalam Islam, demi kelangsungan hidup dan keberkatan bersama.





Istimewa sempena Hari Raya Aidiladha, Tanyalah Ustaz membincangkan topik "Takbir dan Tuntutan Korban". Apakah yang dimaksudkan dengan takbir, dan apa pula makna sebenar pengorbanan? Dalam menyambut Hari Raya Korban, marilah kita menghayati erti pengorbanan yang sebenar dan memahami hikmah di sebalik amalan bertakbir — satu lafaz yang membesarkan Allah S.W.T. dengan penuh keinsafan.













                                                                                                    Isi Kandungan