Tuesday, June 16, 2015

Biodata Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri



Biodata Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri 


Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri ialah Mantan Mufti Wilayah Persekutuan yang ketujuh. Beliau dilahirkan pada 16 Januari 1969 di Kampung Gong Pauh, Kemaman, Terengganu. Beliau kini menetap di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan. Beliau telah mendirikan rumahtangga bersama Dr. Shereen bt. Mohd. Yunus dan dikurniakan 5 orang cahaya mata. 

Beliau mendapat pendidikan awal di Sek. Keb. Rengas Bekah, Kuala Terengganu, Terengganu. Di peringkat menengah, beliau menyambung pengajian di Sek. Men. Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, Kuala Terengganu dan Sek. Men. Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk, Kuala Terengganu untuk aliran Thanawi. 

Pada tahun 1989, beliau melanjutkan pengajiannya ke Universiti Islam Madinah
dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah. Beliau kemudiannya menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Syariah di Universiti Ilmu-Ilmu Islam Dan Arab, Damsyik, Syria. 


Kehidupannya selama lebih 8 tahun di perantauan dimanfaatkan dengan mengikut pengajian talaqqi dengan banyak ulama' di Timur Tengah antaranya ;

Syeikh Muhammad Ali al-Thani (Imam Masjid al-Nabawi)

Fath Al-Bari Syarah Sahih Al-Bukhari oleh Ibn Hajar al-Asqalani Jilid 12 dan 13.
Syarah Sahih Muslim oleh Imam Nawawi Jilid 1 - 4.
Tafsir Ibn Kathir (sebahagiannya)
Tafsir Fath Al-Qadir Oleh Al-Syaukani (sebahagiannya)
Syeikh Rusdi Bin Salim Qalam (Imam Masjid Abdullah Bin Rawahah, Damsyik, Syria)

Syarah Al-`Allamah Abd Al-Salam `Ala Jauharah Al-Tauhid
Syarah Al-`Aqidah Al-Tahawiah Oleh Syeikh Abd Ghani An-Nuaimin
Syarah Al-`Aqaid Al-Nasafiah Oleh Al-Taftazani
Kitab Al-`Aqaid Oleh Al-Imam `Izzuddin Bin Abd Al-Salam.
`Aqidah Syamsuddin Al-Asbihani
Kitab Al-Luma’ oleh Al-Syirazi
Kitab Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah oleh Syeikh `Izzat Ubaid Al-Da’as
Qatr Al-Nada oleh Ibn Hisyam.
Alfiah Ibn Malik (sebahagiannya)
Syarah Al-Hikam oleh Al-Syurnubi.
Al-Risalah Al-Qusyairah oleh Imam Abd Karim Al- Qusyairi
Taj Al-`Arus oleh Ibn `Ataillah Al-Sakandari
Adab al-Bahsi Wa Al-Munazarah Oleh Syeikh Muhyiddin `Abd Al-Hamid.
Syeikh Dr. Muhammad Muhammad Al-Mukhtar Al-Syanqiti (Mantan Pensyarah Universiti Islam Madinah Dan Lajnah Kibar Ulama’ Saudi).

Bulugh Al-Maram min Adillat al-Ahkam oleh Ibn Hajar al-Asqalan (sebahagiannya)
Umdat al-Ahkaam min Kalaami Khairi al-Anaam oleh Abdul Ghani al-Maqdisi (sebahagiannya)
Syeikh Sadiq Habannakah

I’anah Al-Talibin oleh Imam Abi Bakr Ibnu As-Sayyid Muhammad Syatha Ad-Dimyathiy (sebahagiannya).
Kifayah Al-Akhyar Syeikh al-Imam Taqiyuddin Abu Bakr bin Muhammad al-Husaini al-Hishni al-Dimasyqi (sebahagiannya).
Tafsir Al-Khazin oleh 'Alauddin 'Ali bin Muhammad al-Khazin (sebahagiannya).
Tafsir Al-Jalalain oleh Imam Jalaluddin al-Mahall dan Imam Jalaluddin al-Suyuti (sebahagiannya).
Syeikh Al-Muhaddith Abdul Qadir Al-Arnaut.

Kitab Al-Ba`is Al-Hasis (sebahagiannya)
Kitab Hadis (sebahagiannya)
Syeikh Prof. Dr. Muhammad Abd Latif Soleh Al- Farfur

Al-Arba’un Al-Sihah
Futuhat Al- Makkiyyah oleh Ibn Arabi (sebahagiannya)


Beliau juga mendapat ijazah daripada Syeikh Rusdi untuk mengajar kitab-kitab yang tersebut di atas (ijazah tadris) dan juga mendapat ijazah secara sanad yang bersilisilah daripada Al-Syeikh Dr. `Abd Al-Latif Soleh Al-Farfur (Ahli Majlis Mujamma’ Al-Fiqh, Rabitah Al-`Alami Al-Islami). Selain itu, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri juga sempat berguru dengan Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti, Syeikh Dr. Mustafa al-Khin, Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha dan Syeikh Dr. Wahbah Mustafa al-Zuhaili.

Antara anugerah yang diperolehnya adalah Anugerah Tokoh Penulis Islam: Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kelantan Kali Kedua. 2010, Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1433 H/ 2012 M, Anugerah Tokoh Ilmuan Negeri Selangor 1433 H/2012M, Masjid Sultan Salehudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1435H Peringkat Negeri Terengganu. Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, Terengganu. Beliau pernah menyandang beberapa jawatan antaranya Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahli Majlis Fatwa Negeri Terengganu, Panel Kajian Syariah JAKIM, Panel Penasihat Ibadat Haji (TH-JAKIM), Penasihat Syariah Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Ahli Lembaga Pengarah, Pustaka Cahaya Kasturi Sdn. Bhd.

Minatnya yang sangat mendalam dalam penulisan buku telah membawa kepada penghasilan lebih 200 buah buku agama, jurnal, buku-buku terjemahan dan makalah dalam bidang akidah, fiqh, hadis dan tasawwuf.
Antara penulisannya yang terkenal adalah Ahasin al-Kalim Syarah Hikam Ibn Athai'illah al-Sakandary. Selain daripada menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan, beliau kini turut terlibat dalam rancangan Cinta Ilmu segmen Medan Fatwa yang dikeluarkan oleh TV al-Hijrah.