Thursday, September 4, 2025

Tanya lah Ustaz - Sept 2025

                                                                                                        Isi Kandungan



 Tanya lah Ustaz 
- Sept 2025




Halangan dalam solat boleh menjejaskan kekhusyukan bahkan membatalkan ibadah. Antara yang utama ialah berkata-kata tanpa keperluan, melakukan pergerakan berlebihan atau perkara yang tidak berkaitan, serta makan dan minum ketika solat. Semua ini bukan sahaja mengganggu tumpuan, malah merosakkan adab solat yang sempurna. Justeru, setiap Muslim hendaklah menjaga solat dengan penuh khusyuk serta menghindari segala gangguan yang boleh merosakkannya.






Menghidupkan sunah di akhir zaman bukanlah sekadar mengikuti amalan luaran, tetapi satu bentuk pegangan teguh dalam menghadapi cabaran dunia yang penuh fitnah. Sunah Rasulullah SAW menjadi panduan untuk memperkukuh iman, menjaga akhlak, serta membentuk umat yang istiqamah di jalan kebenaran. Di saat nilai dan gaya hidup semakin jauh daripada ajaran Islam, berpegang pada sunah adalah benteng yang menyelamatkan, sekali gus menjadi bukti cinta kita kepada Baginda.



Islam menekankan sifat belas kasihan sebagai akhlak mulia yang mencerminkan keimanan seorang Muslim. Ia bukan sahaja menzahirkan kelembutan hati terhadap sesama manusia, malah meliputi kasih sayang kepada haiwan serta seluruh makhluk ciptaan Allah. Amalan belas kasihan inilah yang menjadi asas terbentuknya masyarakat penyayang, silaturahim yang erat, dan menjadi jalan untuk meraih keredhaan Allah SWT.



Apabila hati dikuasai kebencian, mata kita menjadi buta daripada melihat kebaikan orang lain. Yang dicari hanyalah kesalahan, yang dibesar-besarkan hanyalah kelemahan. Lebih parah, aib didedahkan dan fitnah dinormalisasikan seolah-olah ia perkara biasa. Sedangkan sunnah Rasulullah SAW sangat jelas untuk dijadikan panduan bagaimana Baginda menegur dengan penuh hikmah, menjaga maruah, dan tidak sekali-kali menjatuhkan. Hakikatnya, kebencian tidak pernah membawa penyelesaian, bahkan hanya menambah keretakan. Justeru, marilah kita kembali kepada akhlak Rasulullah SAW iaitu menyuburkan kasih, menahan diri, serta mengubati benci dengan doa dan kasih sayang.



Ilmu adalah amanah besar yang wajib dijaga dengan jujur dan ikhlas. Menuntut ilmu bukan sekadar untuk kepentingan diri, kedudukan, atau riak, tetapi sebagai bekalan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memberi manfaat kepada orang lain. Menyebarkan ilmu juga menuntut amanah, agar ia tidak diseleweng atau digunakan untuk tujuan yang salah, sebaliknya menjadi cahaya yang membimbing masyarakat ke arah kebenaran.



Kisah Aus dan Jabbar bukan sekadar cerita dua individu tetapi gambaran bagaimana api permusuhan boleh menyala semula bila hati dihasut. Turunnya ayat dalamSurah Ali Imran menjadi ubat penenang mengingatkan umat bahawa kekuatan sebenar bukan pada dendam, tapi pada persaudaraan yang dibina kerana Allah. Tazkirah ini membuka rahsia bagaimana al-Quran mendidik hati agar memilih kasih sayang berbanding kebencian dan bagaimana kisah lama itu masih menjadi pengajaran besar untuk dunia penuh perpecahan hari ini.



Dalam Islam, ada waktu tertentu yang dilarang untuk menunaikan solat sunat, seperti selepas solat Subuh hingga matahari naik, atau selepas Asar hingga terbenam matahari. Namun, terdapat juga pengecualian yang dibenarkan, misalnya solat yang mempunyai sebab khusus seperti solat jenazah, solat tahiyatul masjid, atau sujud tilawah. Hal ini menunjukkan betapa syariat Islam fleksibel dan meraikan keadaan umatnya, tanpa mengabaikan prinsip asas ibadah. Memahami pengecualian ini penting agar ibadah kita selari dengan tuntunan Rasulullah SAW dan lebih sempurna di sisi Allah.



Dalam dunia digital hari ini, perkongsian maklumat berlaku pantas, namun tidak semuanya benar. Islam mengajar kita prinsip tabayyun – menyelidik dan memastikan kesahihan sebelum menyebarkan sesuatu berita. Tanpa sikap ini, fitnah mudah tersebar, merosakkan nama baik seseorang dan menggugat keharmonian masyarakat.



Hidup ini sentiasa berputar antara rasa tenang dan gelisah. Ada waktu hati dipenuhi damai, seolah semua berjalan lancar, namun ada juga ketika resah mencengkam jiwa. Dalam Islam, kedua-duanya adalah ujian – nikmat tenang perlu disyukuri, gelisah pula menuntut kesabaran, doa, dan tawakal. Neraca ini mendidik kita untuk tidak hanyut dalam kegelisahan, sebaliknya menjadikannya sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah. Di situlah letaknya kekuatan sebenar – hati yang sentiasa bergantung kepada-Nya, sama ada dalam damai atau ketika diuji.



Berhala moden merujuk kepada kebergantungan melampau terhadap gajet dan media sosial hingga tanpa sedar menjadi bentuk syirik halus apabila manusia lebih bergantung kepada teknologi daripada Allah SWT. Ia membuatkan gajet dijadikan pusat perhatian sehingga solat, ibadah dan hubungan sesama manusia diabaikan, malah wujud rasa cemas bila kehilangan gajet berbanding kehilangan ibadah. Fenomena ini juga merosakkan hubungan sosial kerana walaupun bersama secara fizikal, manusia semakin “sendirian bersama” akibat tenggelam dalam dunia maya, yang akhirnya melemahkan jati diri, menjejaskan pelajaran, kerjaya dan produktiviti umat Islam.



Kita sering mendengar kisah kesabaran Rasulullah SAW menempuh cemuhan dan penindasan. Namun, jarang sekali kita merenungkan bagaimana Baginda juga berdepan ujian kejayaan ketika dihormati, dikagumi dan memiliki kuasa. Pada saat itu, Baginda tidak pernah lupa diri malah tetap merendah hati, tetap tidur di atas tikar kasar, dan tetap hidup dalam kesederhanaan. Inilah ujian yang sering terlepas pandang, iaitu ujian kesenangan dan kemewahan. Jika Rasulullah SAW sendiri diuji bukan hanya dengan kesusahan tetapi juga dengan nikmat, maka ujian kita hari ini sama ada miskin atau kaya, senang atau susah sebenarnya jauh lebih ringan. Persoalannya, mampukah kita mencontohi Baginda dalam menghadapi kedua-dua sisi ujian ini?



Saidina Umar al-Khattab R.A merupakan khalifah kedua umat Islam yang digelar al-Faruq kerana ketegasan beliau dalam membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Beliau menjadi teladan agung dalam kepemimpinan melalui keberanian, ketegasan serta keadilan yang tinggi, sehingga pemerintahan beliau disegani dan dihormati. Kepemimpinan Umar R.A berteraskan prinsip keadilan sosial, perlindungan hak rakyat, dan kesejahteraan ummah. Sifat-sifat ini wajar dijadikan panduan untuk melahirkan pemimpin serta individu yang berani menegakkan kebenaran, menjaga amanah, dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.



Zakat adalah rukun Islam yang wajib difahami dan dilaksanakan oleh setiap Muslim. Harta yang tidak dizakatkan kekal sebagai amanah yang belum selesai, walaupun telah digunakan, diwarisi atau diinfakkan. Kewajipan zakat bermula apabila harta mencapai nisab (jumlah minimum) dan cukup haul (tempoh setahun). Jika syarat ini dipenuhi, zakat wajib dikeluarkan kepada asnaf. Termasuk juga zakat pendapatan dan simpanan KWSP, yang dikenakan apabila dikeluarkan serta memenuhi syarat zakat.



Islam membawa kedamaian dalam kehidupan dan menggalakkan umatnya menyebarkan nilai harmoni kepada masyarakat. Melalui amalan kasih sayang, tolong-menolong dan sikap saling menghormati, Islam mengajak umatnya hidup rukun serta tenang bersama orang sekeliling.



Perbincangan mengenai peranan dan tanggungjawab seorang lelaki sebagai qawwam dalam keluarga, serta kepentingannya dalam menjaga, memimpin dan melindungi ahli keluarga mengikut tuntutan Islam.



Mengamalkan yang halal serta meninggalkan yang haram merupakan asas utama kehidupan seorang Muslim yang ingin meraih keberkatan daripada Allah SWT. Tuntutan hadis ini menegaskan bahawa setiap mukmin wajib memastikan rezeki, amalan, dan gaya hidupnya berada dalam batas halal, di samping menjauhi perkara syubhah yang boleh menjejaskan agama dan maruah diri. Keberkatan hidup hanya dapat dicapai apabila seseorang sentiasa berhati-hati dalam setiap urusan, sama ada berkaitan duniawi mahupun ukhrawi, dengan menjadikan kehati-hatian sebagai tanda ketaatan dan ketakwaan kepada Allah.



Sihir merupakan amalan jahat manusia dengan bantuan jin, iblis dan syaitan yang dilakukan secara tersembunyi. Ia memberi kesan buruk terhadap jasad, emosi, hubungan sosial serta akidah, meskipun tidak dapat dibuktikan oleh akal mahupun sains. Al-Quran menegaskan bahayanya dalam Surah al-Baqarah ayat 102, manakala Rasulullah SAW sendiri pernah disihir oleh Labid bin al-A‘sam. Namun, Allah melindungi Baginda melalui penurunan Surah al-Falaq dan Surah an-Nas. Sehubungan itu, umat Islam hendaklah menjauhi bomoh dan ahli sihir. Sebaliknya, kita dituntut bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan doa, zikir, ruqyah syar‘iyyah serta memperkukuh iman sebagai benteng daripada bahaya sihir.



Dalam dunia moden yang semakin maju, ramai yang melihat cara lama atau tradisional sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman. Namun, tidak semua perkara lama itu kolot, kadangkala ia adalah solusi kepada masalah yang kita hadapi hari ini. Banyak nilai, adab dan amalan masyarakat dahulu terbukti memberi keseimbangan dalam kehidupan. Contohnya, amalan makan bersama keluarga, bergotong-royong, menjaga tutur kata, dan menghormati orang tua. Semua ini mungkin nampak remeh, tetapi sebenarnya menjadi asas kepada keharmonian sosial.


Pemberian tanpa syarat adalah tanda keikhlasan yang tulus. Ia bukan soal balasan atau ganjaran, tetapi tentang hati yang rela memberi demi kebaikan orang lain. Sama ada melalui masa, tenaga, ilmu atau harta, setiap pemberian yang dilakukan dengan ikhlas mampu menyentuh jiwa penerima dan menjadi sumber kebaikan berpanjangan. Hidup akan lebih bermakna apabila kita belajar memberi tanpa mengira siapa yang menerima, kerana nilai sebenar terletak pada niat dan kasih yang tersisip di sebaliknya.



Kita sedang berada dalam satu zaman yang pelik. Perbuatan dosa yang dahulunya disembunyikan kini dipertontonkan tanpa segan silu. Apa yang dulu ditakuti orang tahu, kini dengan bangga dikongsi di media sosial, bahkan mendapat pujian dan dijadikan contoh oleh sesetengah pihak. Inilah fenomena “normalisasi maksiat” – apabila dosa dianggap perkara biasa, maksiat diraikan, manakala nasihat pula dilihat sebagai gangguan. Tazkirah ini akan mengupas bagaimana maksiat sedang dimuliakan, apakah punca fenomena ini, serta bagaimana masyarakat Islam sepatutnya bertindak sebelum segalanya menjadi terlalu lewat.


Membincangkan panduan dan prinsip jual beli menurut syariat Islam, yang menekankan keadilan, kejujuran, dan keberkatan dalam urusan muamalah. Tujuannya adalah untuk memastikan hak semua pihak terpelihara dan segala bentuk penindasan atau penipuan dapat dielakkan. Topik ini mengajak umat Islam memahami konsep jual beli yang sah di sisi syarak supaya urus niaga yang dijalankan bukan sahaja sah secara undang-undang tetapi juga mendapat keberkatan dan redha Allah SWT.



Keluarga berlandaskan sunnah ialah keluarga yang dibina atas asas kasih sayang, amanah, dan ketakwaan kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap keluarganya...” (HR al-Tirmizi), yang menegaskan pentingnya peranan suami, isteri, dan anak-anak dalam membina suasana rumah tangga yang penuh harmoni. Contoh terbaik sebuah keluarga sunnah dapat dilihat pada rumah tangga Rasulullah SAW, yang menzahirkan keseimbangan antara kepimpinan, kasih sayang, dan tanggungjawab, sekaligus menjadi model teladan untuk umat Islam sepanjang zaman.



Konsistensi dalam ketaatan kepada Allah SWT menjadi cabaran besar di era kini kerana ramai yang hanya bersemangat sementara, contohnya selepas Ramadan, kursus motivasi atau saat ditimpa ujian, tetapi kemudian kembali lalai. Godaan media sosial, gaya hidup sibuk, pengaruh kawan yang melalaikan serta tekanan kerja dan keluarga sering menjadi punca hilangnya istiqamah. Untuk mengekalkannya, umat Islam perlu menetapkan niat dan matlamat jelas, memperbanyak doa dan taubat, memulakan perubahan kecil tetapi konsisten, menjaga solat serta zikir, memilih persekitaran yang positif, serta menghargai setiap kemajuan. Dengan langkah ini, istiqamah tidak lagi sekadar semangat bermusim, tetapi menjadi kekuatan yang membentuk identiti seorang Muslim sejati.


Sifat malu adalah mahkota akhlak yang memelihara maruah diri seorang Muslim. Ia bukan kelemahan, tetapi kekuatan yang membentuk peribadi mulia, mencegah daripada melakukan dosa, dan mendorong kepada kebaikan. Rasulullah S.A.W menegaskan bahawa malu itu sebahagian daripada iman, kerana ia menjadi benteng yang menjaga hati, lidah, dan perbuatan. Dalam dunia moden yang sering mengagungkan kebebasan tanpa batas, sifat malu perlu dipertahankan agar kita tidak hanyut dalam arus yang merosakkan.



Bersempena Maulidur Rasul, Tanyalah Ustaz membawakan topik “Bertopengkan Sunnah”, yang membincangkan bagaimana ada antara kita mengamalkan sunnah demi mengharapkan syafaat dan ganjaran, namun tidak kurang juga yang menyalahgunakannya demi kepentingan peribadi.



Muraqabah dan Muhasabah mendidik kita untuk sentiasa sedar bahawa Allah mengawasi setiap perbuatan, menilai diri sebelum dihisab, bermujahadah melawan hawa nafsu, serta mengambil tanggungjawab dengan menghukum diri apabila melakukan kesalahan. Dalam suasana yang sarat dengan kes rasuah, salah guna kuasa, dan keruntuhan moral, amalan ini menjadi kerangka spiritual yang penting bagi pemimpin, pekerja, dan seluruh masyarakat agar lebih telus, amanah, dan bertanggungjawab, kerana mereka menyedari bahawa setiap amal akan dihisab Allah walaupun sekecil zarah.


Cinta kepada Rasulullah SAW bukan hanya ungkapan manis di bibir atau tulisan di helaian kertas. Ia perlu berakar di hati lalu mekar dalam amal. Para sahabat dahulu membuktikan cinta dengan taat, berkorban, bahkan rela menyerahkan nyawa demi mempertahankan baginda. Hari ini, cinta itu diterjemah bukan dengan pedang, tetapi dengan menghidupkan sunnah, memperindah akhlak, menyebarkan rahmat dan menjauhi maksiat. Itulah cinta sejati—cinta yang tulus, tidak terbelah bagi, serta menjadikan Rasulullah SAW sebagai pedoman hidup, bukan sekadar lambang.



Cinta kepada Rasulullah SAW adalah asas iman, terbukti dengan mengutamakan baginda lebih daripada segalanya. Nabi SAW amat mencintai umatnya hingga akhir hayat, manakala para sahabat menunjukkan teladan cinta sejati dengan pengorbanan mereka. Cara mencintai baginda ialah dengan mengikuti sunnah, memperbanyakkan selawat, mempelajari sirah dan mempertahankan syariat. Jika Rasulullah SAW dihina, umat wajib membela dengan hikmah, bukan dengan tindakan melampau. Dalam masa sama, cinta kepada Nabi tidak boleh melebihi batas syariat seperti menyanjung baginda seperti Tuhan atau mencipta amalan tanpa dalil. Hakikat cinta sejati ialah ketaatan kepada ajaran baginda sebagai jalan menuju cinta Allah SWT.



Keindahan manusia bukan pada rupa, pangkat atau harta, tetapi pada akhlak yang menyempurnakan diri. Akhlak yang baik melahirkan jiwa tenang, hubungan harmoni, dan masyarakat yang sejahtera. Ia menjadi cerminan siapa kita sebenarnya dan meninggalkan kesan mendalam kepada sesiapa yang berinteraksi dengan kita. Akhlak mulia bukan hanya dihargai, malah diwarisi sebagai legasi kebaikan untuk generasi seterusnya.











                                                                                                     Isi Kandungan