Monday, December 1, 2025

Tanya lah Ustaz - Dis 2025

                                                                                                         Isi Kandungan



 Tanya lah Ustaz 
- Dis 2025




Episod ini menelusuri perbincangan mengenai Bani Israel melalui perspektif Al-Quran dan rujukan sejarah, dengan merujuk kepada ayat-ayat yang menegur sikap keingkaran dan penyelewengan golongan tertentu dalam konteks zaman mereka (rujukan al-Quran 4:153–157 dan 5:78–80). Perbincangan ini turut mengaitkan perkembangan ideologi Zionisme moden yang membawa kepada penubuhan entiti Israel di wilayah Palestin sejak lebih tujuh dekad lalu. Episod ini juga membincangkan perkembangan terbaharu pasca konflik Gaza, masa hadapan Palestin, serta bagaimana naratif kemanusiaan berjaya membuka mata dan menarik sokongan masyarakat antarabangsa terhadap penderitaan rakyat Gaza yang tertindas.



Topik ini membincangkan keadaan makmum yang tertinggal atau terlambat dalam solat dan apa yang perlu dilakukan setelah imam selesai solat. Ia juga menyentuh tentang perkara yang menjadi kewajipan bersama antara imam dan makmum, termasuk syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk mengikuti imam, kedudukan yang betul bagi imam dan makmum dalam solat, serta keutamaan saf pertama. Selain itu, dibincangkan juga peranan imam dalam memastikan saf yang rata dan menutup celah-celah di dalam saf. Topik ini juga menyentuh soal solat bersama makmum yang tertinggal dan bagaimana imam dan makmum berinteraksi dalam situasi tersebut.



Mencapai usia 40 tahun merupakan satu marhalah penting dalam kehidupan manusia, di mana akal dan fizikal mencapai tahap kesempurnaan dan kematangan. Pada usia ini, seseorang digalakkan untuk mensyukuri nikmat Allah, memohon taufik untuk melakukan amal soleh, dan menanam kebaikan yang kukuh dalam diri serta diwariskan kepada anak dan zuriat. Persediaan menuju usia ini melibatkan pemantapan diri melalui penghayatan sirah, pembangunan pemikiran dan psikologi yang matang, penjagaan fizikal agar sihat, serta pemakanan yang seimbang. Kesemua ini membentuk insan yang bukan sahaja matang dari segi akal dan tubuh, tetapi juga bersedia untuk menyumbang kebaikan dalam kehidupan, keluarga, dan masyarakat.



Hadis dari Abu Hurairah RA menceritakan bagaimana Rasulullah SAW sangat menghargai setiap usaha, sekecil apapun, dalam melakukan amal kebaikan. Baginda SAW menanyakan tentang wanita kulit hitam yang berkhidmat membersihkan masjid, dan setelah diberitahu bahawa dia telah meninggal dunia, Rasulullah SAW kecewa kerana para sahabat tidak memberitahunya. Baginda kemudian menziarahi kuburnya dan berdoa agar kubur itu diterangi dengan cahaya, menunjukkan betapa pentingnya setiap amal walaupun kecil. Hadis ini mengajar kita untuk tidak memandang rendah terhadap sesiapa, terutama golongan yang lemah dan miskin, serta untuk menjaga hubungan dengan sesama, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan bertanya khabar kepada sahabat-sahabatnya. Sebagai umat Islam, kita juga perlu menghargai setiap usaha dalam dakwah, walaupun ia sekecil apapun, kerana setiap amal kebaikan akan dinilai oleh Allah.



Kehidupan Aisyah r.a. menawarkan banyak pengajaran berharga tentang peranan seorang wanita dalam keluarga dan masyarakat. Walaupun beliau berkahwin pada usia muda, layanan Aisyah yang penuh kelembutan, kebijaksanaan, dan kesabaran menjadikan beliau teladan seorang isteri yang sempurna. Kehebatan Aisyah juga terserlah melalui peranannya sebagai periwayat hadis, di mana beliau menyampaikan ilmu Nabi Muhammad SAW dengan penuh ketelitian dan amanah, sekali gus memberi manfaat kepada umat Islam sepanjang zaman. Dalam rumahtangga, Aisyah menunjukkan kebijaksanaan dalam pengurusan konflik dan fitnah, termasuk menghadapi dugaan yang menimpa dirinya dengan tabah dan beradab. Bagi wanita yang tiada anak, kehidupan Aisyah memberikan semangat bahawa keikhlasan, pengabdian kepada keluarga dan agama, serta peranan dalam menyebarkan ilmu dan kebaikan, mampu membawa kepuasan dan keberkatan dalam hidup.



Surah yang kita baca setiap hari ini bukan sekadar pembuka solat, tetapi merupakan pintu rahmat, doa kehidupan dan pengakuan seorang hamba kepada Tuhannya. Ramai yang menghafalnya, namun tidak semuanya menyelami makna yang terkandung. Dalam tujuh ayat Al-Fatihah terhimpun inti tauhid, harapan, taubat, pujian, pergantungan serta pedoman jalan hidup seorang mukmin. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada dalam Taurat, Injil, Zabur dan al-Quran surah seperti Al-Fatihah. Ia adalah As-Sab‘ul Mathani (tujuh ayat yang diulang) dan al-Quran yang agung yang diberikan kepadaku.” (Hadis riwayat Tirmizi). Rahsia Al-Fatihah membuka mata hati bahawa setiap lafaznya sarat dengan makna yang menyentuh jiwa, bermula dengan pujian kepada Allah, pengakuan kebergantungan sepenuhnya kepada-Nya, hingga permohonan agar ditunjukkan jalan yang lurus. Surah ini bukan untuk dibaca dengan tergesa-gesa, tetapi untuk difahami dan dihayati, kerana di dalamnya tersirat makna tawakkal yang sebenar di sisi Allah.


25.12.25 - Pembantu Setia Rasulullah SAW , Ustaz Fikri Abdul Razak

Membincangkan peranan pembantu setia Rasulullah SAW, yang terdiri daripada sahabat-sahabat Baginda, serta menyingkap kisah, pengajaran dan teladan daripada mereka.


24.12.25 - Selepas Mahsyar: Ke Syurga Atau Neraka? , Ustaz Jafri Abu Bakar

Setelah beberapa Siri Akhir Zaman membincangkan tanda-tanda besar kiamat, sekarang kita berada di episod penutup.Kita akan melihat apa berlaku selepas kiamat, ke mana perjalanan manusia dan apakah pengakhiran kita - syurga atau neraka? Allah menggambarkan harfi itu sebagai: Hari di mana manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam (Surah al-Mutaffifiin:6) Jika hari ini kita diberi dua berita; dunia akan berakhir esok atau kita akan dibangkitkan di Mahsyar lusa, adakah kita sudah bersedia? Apakah persediaan kita? Allah berfirman: “Sesiapa yang diselamatkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka dia lah orang yang berjaya.” - Surah Ali Imran: 185


23.12.25 - Kepimpinan Solat , Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan

Topik ini membincangkan konsep imamah dalam solat, yang merangkumi definisi dan jenis-jenis kepemimpinan solat. Ia juga menjelaskan syarat-syarat yang diperlukan untuk seseorang menjadi imam, serta soal sahnya solat apabila dilakukan di belakang imam yang mengikuti mazhab berbeza. Perbincangan meliputi juga hal-hal yang dapat membatalkan solat imam, tindakan yang perlu diambil jika imam terlambat atau jamaah tertinggal, serta hukum-hukum khusus yang berkaitan dengan imamah. Selain itu, topik ini turut membahas adakah imam perlu membaca sebahagian surah, membuka mata semasa solat, serta tindakan imam dalam mengatur solat mereka untuk memastikan ia sesuai dengan syariat Islam.



Perubahan zaman membawa cabaran baharu dalam mendidik anak-anak, seiring kemajuan teknologi dan gaya hidup moden. Peranan ibu bapa bukan sekadar mendidik dari segi akademik, malah membentuk akhlak, adab dan keimanan sebagai panduan hidup. Berlandaskan nilai Islam, didikan penuh kasih sayang, teladan yang baik serta doa berterusan menjadi asas penting dalam membesarkan generasi yang seimbang dunia dan akhirat.



Hadis riwayat Abdullah bin Mas‘ud RA menegaskan keutamaan menyampaikan ilmu dan dakwah, apabila Nabi SAW mendoakan keberkatan serta keserian wajah bagi mereka yang mendengar, menghafal dan menyampaikan hadis Baginda. Hadis ini turut menggariskan tiga sifat penting dalam membersihkan hati seorang Muslim, iaitu mengikhlaskan amalan, memberi nasihat kepada pemimpin, dan berpegang teguh dengan jemaah Islam. Ulama seperti Abu Sulaiman al-Khattabi, Ibn al-Qayyim dan al-Nawawi menekankan bahawa dakwah merupakan tanggungjawab setiap Muslim mengikut kemampuan masing-masing, bermula dari keluarga hingga ke masyarakat. Tiga sifat ini menjadi panduan utama dalam melaksanakan dakwah dengan hati yang bersih, tulus dan penuh dedikasi.



Kehidupan Khadijah r.a. memberikan pengajaran penting mengenai keperibadian dan akhlak mulia seorang wanita. Sebagai seorang wanita bangsawan dan usahawan yang berjaya, beliau menggunakan hartanya untuk menyokong jalan agama dan dakwah, serta menyalurkan sumber dan tenaga untuk kebaikan umat. Khadijah juga menunjukkan teladan dalam layanan yang penuh hikmah dan kesabaran terhadap suami, termasuk ketika menerima wahyu dan menghadapi cabaran awal Islam. Sikap dan moralnya menjadi sokongan yang kukuh bagi Nabi Muhammad SAW, sehingga baginda sering memuji kesetiaan, kebaikan hati, dan keikhlasan Khadijah dalam setiap aspek hidup. Kisahnya memberi inspirasi bagaimana seorang isteri yangmulia bukan sahaja menunaikan tanggungjawab keluarga, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menyokong kebenaran dan menyebarkan agama



Kadang kita lupa bahawa kita tidak hidup tanpa cela. Kita langgar batas, kita buat silap, kita sakiti orang tanpa sedar, dan ada dosa yang tak nampak tapi melekat dalam diam. Menjadi hamba bukan tentang rasa cukup baik, tapi berani mengaku salah dan kembali tunduk. Allah dah buka jalan untuk mereka yang sedar: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung.” (Surah An-Nur: 31) “Iktiraf: Tunduk Seorang Hamba” mengajak kita sedar bahawa taubat bukan hanya antara kita dan Tuhan, tapi juga sesama manusia. Minta ampun kepada Allah itu wajib, namun minta maaf pada hati yang kita lukakan juga sebahagian dari tanda tunduk seorang hamba.



Hikmah dalam himmah terserlah apabila kesungguhan disertai niat yang betul dan tindakan yang berterusan. Setiap usaha yang dilakukan dengan tekad tinggi membuka ruang pembelajaran, mematangkan jiwa dan menguatkan kepercayaan diri. Walaupun jalan yang ditempuh penuh cabaran, di situlah lahir kebijaksanaan dalam membuat pilihan dan kesabaran dalam menghadapi ujian. Himmah yang terpelihara akan membimbing langkah agar tidak mudah berputus asa, sebaliknya terus melangkah dengan yakin menuju kebaikan.



Setiap perjalanan pasti ada noktahnya, dan di situlah kebenaran sering tersingkap. Pengakhiran yang nyata bukan sekadar penutup sebuah kisah, tetapi ruang untuk muhasabah, menerima hakikat dan belajar daripada apa yang telah berlaku. Dalam setiap penamat, tersimpan pengajaran tentang pilihan, kesabaran dan keikhlasan. Kadangkala ia hadir tanpa diduga, namun di situlah manusia diuji untuk bangkit, memperbaiki diri dan melangkah ke hadapan dengan hati yang lebih matang serta reda.



Topik ini membincangkan pelbagai aspek berkaitan solat jama'ah, termasuk pahala besar yang diperoleh daripada menyertai jama'ah. Ia juga menyentuh tentang cara untuk mendapatkan solat fardhu bersama imam serta pandangan ulama mengenai menunaikan solat berjama'ah, termasuk perjalanan menuju imam. Selain itu, topik ini mengupas tentang pentingnya mengulang solat jama'ah di masjid dan mengapa solat yang tertinggal bersama jama'ah perlu diulang. Waktu yang disarankan untuk berdiri dalam solat jama'ah serta alasan sah untuk meninggalkan satu jama'ah dan menyertai jama'ah lain juga turut dibincangkan dalam konteks yang relevan dengan kehidupan umat Islam.



Anak-anak yang kurang mendapat perhatian dan bimbingan ibu bapa berisiko mengalami kekosongan emosi dan kekeliruan nilai dalam kehidupan mereka. Pengabaian ini menyebabkan mereka terdedah kepada salah langkah, pergaulan negatif, dan kesukaran dalam membuat keputusan yang bijak. Tanpa tunjuk ajar dan panduan yang konsisten, anak-anak mudah membesar dengan sikap kurang disiplin, kurang tanggungjawab, dan kurang keyakinan diri. Oleh itu, kehadiran dan perhatian ibu bapa bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal, tetapi juga penting dalam membentuk sahsiah, moral, dan daya juang anak agar mereka mampu menjadi insan yang seimbang dan bermakna dalam masyarakat.



Hari Kekasih asalnya merupakan sebuah perayaan yang berkaitan dengan budaya Kristian dan sejarah tertentu yang tidak ada kaitan langsung dengan ajaran Islam. Oleh itu, beberapa ulama berpendapat bahawa meraikan hari tersebut boleh dianggap sebagai meniru perayaan orang bukan Islam (taqlid) yang tidak sesuai dengan akidah Islam. Sambutan ini boleh mendatangkan beberapa jenayah syariah atau maksiat seperti berkhalwat, persetubuhan luar nikah dan melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam. Islam mengajarkan konsep cinta yang luhur dan mulia, tetapi lebih menekankan kepada cinta kepada Allah, Rasul-Nya, dan sesama umat manusia berdasarkan prinsip-prinsip yang sahih. Cinta dalam Islam tidak memerlukan perayaan atau ritual khusus seperti yang dilakukan dalam perayaan Hari Kekasih.



Kisah Nabi Musa menentang ahli sihir Firaun bukan hanya sekadar mukjizat, tetapi simbol pertembungan antara kebenaran dan kebatilan. Dalam konteks zaman moden, Firaun melambangkan individu yang menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri, manakala ahli sihir yang akhirnya menerima kebenaran menggambarkan hidayah yang boleh datang kepada sesiapa yang terbuka hatinya. Pertarungan ini juga mengajarkan perbezaan antara ilmu hakiki dari Allah dan ilmu batil, seperti sihir dan manipulasi, yang masih berleluasa dalam masyarakat hari ini. Di tengah kebatilan yang disanjung, Nabi Musa menjadi teladan keteguhan iman dan keberanian menentang kekuasaan yang zalim. Kisah ini bukan hanya sejarah, tetapi juga refleksi untuk umat moden dalam menilai siapa sebenarnya “Musa” dan “Firaun” dalam kehidupan kita, serta cabaran untuk mempertahankan kebenaran dalam dunia yang penuh tipu daya.



Kehilangan datang dalam banyak rupa. Hilang orang yang kita sayang, hilang masa depan yang dirancang, hilang diri sendiri dalam gelombang ujian. Dalam semua itu, ada tawa yang perlahan-lahan padam, dan hati yang tak sempat sembuh. Allah mengingatkan bahawa setiap yang pergi bukan tanpa tujuan: “Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah Al-Mulk: 2) Tawa Yang Hilang menyentuh bagaimana jiwa belajar menerima takdir, reda pada apa yang tak dapat dipeluk lagi, dan berdamai dengan ruang kosong yang ditinggalkan. Bukan untuk suruh lupa, tapi untuk tunjuk bahawa kehilangan bukan penamat. Ianya cuma satu bahagian perjalanan yang Allah susun.



Keberanian dan ketegasan Saidina Ali menjadi contoh bagaimana menegakkan kebenaran dalam dunia yang sarat tekanan dan ketidakadilan. Prinsipnya yang teguh, kepimpinan yang adil, serta kesetiaan dalam amanah mengajar masyarakat hari ini untuk berani bersuara, jujur dan tidak tunduk kepada politik kebencian. Kehidupannya yang sederhana dan zuhud pula menjadi peringatan dalam budaya materialistik agar manusia kembali menghargai syukur dan kesederhanaan. Dengan kecerdasan dan hikmah, Saidina Ali menyelesaikan pertikaian tanpa amarah, menunjukkan bahawa kemenangan sebenar lahir daripada akhlak, bukan kuasa. Teladannya mengingatkan bahawa pembaikan masyarakat bermula daripada hati yang bersih, ilmu yang dihormati, dan prinsip yang tidak goyah walau diuji.



Setiap manusia melalui saat letih, kecewa, hilang arah dan terluka. Ada masa kita mencari tempat berehat tanpa derita, namun dunia tidak pernah menjanjikannya sepenuhnya. Bagi orang beriman, syurga bukan sekadar balasan tetapi janji Allah kepada mereka yang sabar, taat dan tetap kembali kepada-Nya walau berkali-kali jatuh. Allah meneguhkan hati kita melalui firman-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka syurga Firdaus sebagai tempat tinggal. Mereka kekal di dalamnya, mereka tidak ingin berpindah daripadanya.” (Surah Al-Kahfi: 107–108) “Syurga: Nikmat Tanpa Putus” mengangkat gambaran sebuah tempat tanpa sedih, tanpa sakit, tanpa resah — hanya ketenangan yang abadi. Jika di dunia setiap nikmat ada batasnya, di sana ia hadir tanpa berakhir; sebagai hadiah daripada Tuhan untuk hati yang tetap bertahan.



Topik ini membincangkan konsep dan hukum berkaitan solat berjamaah. Ia dimulakan dengan definisi jama'ah, diikuti dengan penjelasan mengenai kesahihan dan keutamaan melaksanakan solat secara berjamaah. Hukum solat berjamaah turut dibincangkan, serta siapa yang diwajibkan untuk menyertai jama'ah. Di samping itu, dibincangkan juga tempat terbaik untuk melaksanakan solat berjamaah, dengan masjid dianggap sebagai tempat yang paling utama.



Empat pesanan utama yang mudah tetapi penuh makna untuk membina kehidupan yang harmoni dan berpahala. Menyebarkan salam menunjukkan kepedulian dan kasih sayang kepada sesama manusia, manakala memberi makan menanam sifat dermawan dan mengeratkan ukhuwah. Menjaga hubungan silaturrahim memperkukuh ikatan kekeluargaan dan sosial, manakala solat di waktu malam meneguhkan keimanan dan mendekatkan diri kepada Allah. Amalan-amalan ini, walaupun kelihatan sederhana, mampu menjadi pintu masuk kepada syurga dengan membawa kedamaian dan ketenangan dalam kehidupan sendiri dan orang lain.


7.12.25 - Iman VS. Nafsu , Ustaz Dr. Shamsul Hakim Abd Samad

Daripada Abdullah bin Amru, Rasulullah SAW bersabda; لا يُؤمِنُ أحدُكُم حتَّى يكونَ هواهُ تَبَعًا لما جئتُ بهِ . Maksudnya: “Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehingga kehendak (hawa nafsunya) mengikuti apa yang aku bawa (ajaran yang aku sampaikan).” [HR Baihaki, 209] Hadis dan ayat ini menegaskan bahawa tanda iman yang sebenar bukan hanya pada ucapan dan keyakinan, tetapi pada kesediaan tunduk sepenuhnya kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, walaupun bertentangan dengan kehendak atau kepentingan diri. Kisah perselisihan antara al-Zubair dan sahabat Ansar menunjukkan bahawa keadilan Islam berpaksikan wahyu, bukan emosi atau hubungan peribadi. Dalam konteks semasa, mesej ini amat relevan ketika masyarakat sering menilai sesuatu berdasarkan sentimen, politik, atau kepentingan diri, bukannya prinsip syariat. Ujian iman hari ini bukan hanya pada solat dan zikir, tetapi pada sejauh mana kita reda dengan keputusan Allah dalam urusan kehidupan, ekonomi, hukum, dan sosial. Iman yang tulen menjadikan seseorang berani mempertahankan kebenaran walau tidak popular, dan rela menerima ketetapan Ilahi dengan hati yang tenang. Dunia moden kini menuntut Muslim untuk kembali kepada disiplin iman ini dalam menilai segala tindakan, hukum, dan keputusan dengan neraca al-Quran dan Sunnah, bukan hawa nafsu atau tekanan masyarakat.



Kehidupan dunia hanyalah persinggahan sementara, bukan tempat tinggal kekal, dan seorang Mukmin perlu menjalaninya seperti seorang musafir yang membawa bekalan sekadar cukup untuk sampai ke destinasi akhirat. Ia menuntut umat Islam supaya tidak tamak, tidak berlebih-lebihan dalam harta atau pergaulan, serta mengamalkan zuhud. Dunia hanyalah jambatan menuju kehidupan abadi, maka setiap saat hidup mesti dimanfaatkan dengan amal soleh, ketaatan, dan kerja yang bermanfaat. Hadis ini juga menegaskan pentingnya keseimbangan: berusaha secara profesional dalam urusan dunia tanpa melupakan tanggungjawab kepada akhirat, serta sentiasa berhati-hati agar kesenangan sementara tidak menipu dan melalaikan daripada tujuan sebenar iaitu pertemuan dengan Allah SWT.


5.12.25 - Adab Yang Ditinggalkan , Ustaz Mohammad Yaakub Yusra





Syaitan sentiasa mencari ruang untuk meresap masuk ke dalam hati manusia, bukan melalui kekuatan, tetapi melalui kelalaian. Laluan itu hadir dalam bentuk sifat marah, hasad, riak, malas beribadah dan cinta dunia yang melampau. Sedikit demi sedikit, ia melemahkan jiwa sehingga hati menjadi jauh daripada Allah. Dengan memperbanyakkan zikir, menjaga solat, mengawal emosi dan memperbaiki akhlak, kita menutup pintu-pintu yang membuka peluang kepada bisikan jahat. Hati yang sentiasa dihidupkan dengan iman adalah benteng paling kukuh daripada tipu daya syaitan.


Dalam dunia hari ini yang penuh kecamuk, Surah Maryam hadir sebagai “manual ketahanan spiritual”, membina hati yang yakin, sabar dan teguh walau ditekan manusia dan keadaan. Ia mengajar bahawa rahmat Allah mampu menembusi batas logik, dan setiap ujian adalah jalan menuju pengangkatan darjat. Surah Maryam bukan untuk wanita sahaja kerana ia adalah naskhah kekuatan jiwa untuk seluruh manusia. Ia adalah seruan harapan, kekuatan dan tauhid kepada semua yang sedang bertarung dalam hidup. Sebuah surah yang menyentuh hati, menghidupkan jiwa, dan menegakkan keyakinan bahawa pertolongan Allah sentiasa dekat.





Cinta sejati bukan hanya hadir dalam perasaan, tetapi juga dalam nasihat yang disampaikan dengan hikmah dan kelembutan. Nasihat yang ikhlas membina kepercayaan, meneguhkan hubungan, serta menunjukkan perhatian yang tulus. Melalui kata-kata yang membimbing dan menenangkan, kita menanam rasa hormat dan tanggungjawab dalam diri insan yang disayangi. Maka, cintailah dengan menasihati — kerana kata-kata penuh hikmah mampu menjadi pengikat hati dan tanda kasih yang sebenar.




                                                                                                       Isi Kandungan