12.8.26 - Nafkah Yang Berkat - Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre & Ustaz Mohd Azli Abdullah
Nafkah merupakan antara tanggungjawab penting dalam kehidupan berkeluarga yang melibatkan hak pasangan dan keperluan anggota keluarga. Kefahaman terhadap hukum hakam nafkah membantu mengelakkan salah faham serta pertikaian yang boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga. Kupasan ini menyentuh konsep nafkah menurut syariat Islam, termasuk tanggungjawab memberi nafkah dan hak pihak yang menerimanya, agar kehidupan berkeluarga dapat dibina dengan lebih adil, bertanggungjawab dan teratur.
11.8.26 - Yakin Berbicara - Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan
Kaedah fiqh “Asas pembinaan pengakuan adalah mengguna pakai keyakinan, membuang keraguan, dan tidak mengguna pakai kebiasaan sangkaan umum” menegaskan bahawa setiap pengakuan lisan adalah berteraskan keyakinan yang pasti dan membuang sebarang keraguan mahupun andaian semata-mata. Dalam kehidupan bermasyarakat, prinsip ini menjadi panduan penting apabila berlaku pertikaian harta atau perbalahan keluarga akibat lafaz pengakuan yang samar. Dengan mengambil tafsiran paling minimum, pasti, dan terhad kepada apa yang dilafazkan sahaja, Islam memelihara keadilan masyarakat daripada manipulasi sangkaan, salah faham pemilikan, serta tuntutan berlebihan yang tidak jelas.
10.8.26 - Musa AS Di Bumi Madyan - Ustaz Amirul Amin
Kisah Nabi Musa AS selepas meninggalkan Mesir dan menuju ke bumi Madyan memperlihatkan bagaimana sebuah fasa sukar boleh menjadi permulaan kepada kehidupan yang lebih baik. Peristiwa di perigi Madyan turut menonjolkan sifat prihatin, keberanian serta kesediaan membantu tanpa mengharapkan balasan. Daripada kisah ini, konsep Al-Qawiyyu Al-Amin — kuat dan amanah — menjadi teladan dalam membentuk peribadi yang berintegriti. Ujian dan kegagalan bukan semestinya pengakhiran, sebaliknya boleh menjadi jalan kepada kematangan, rezeki dan peluang baharu dengan izin Allah SWT.
9.8.26 - Ilmu Sebelum Amal - Ustaz Ahmad Fuad Mokhtar
Imam al-Ghazali menggariskan tujuh halangan utama yang perlu ditempuhi dalam perjalanan ibadah, dengan ilmu sebagai halangan pertama yang paling asas. Tanpa ilmu yang benar, seseorang mudah tersilap dalam beramal dan terdedah kepada perkara yang boleh menjejaskan ibadah serta kehidupan. Perkongsian ini mengupas kepentingan ilmu sebagai panduan dalam beribadah, membezakan antara yang hak dan batil serta membentuk kehidupan seorang Muslim yang lebih terarah.
8.8.26 - Cinta Kepada Rasul - Ustaz Dr. Shamsul Hakim Abd Samad
Hakikat kesempurnaan iman seseorang manusia terletak pada kesediaannya untuk meletakkan rasa cinta dan kasih yang paling tinggi kepada sosok pembawa kebenaran iaitu Nabi Muhammad SAW di atas segala-galanya, termasuklah ahli keluarga terdekat dan seluruh umat manusia. Cinta yang agung ini merangkumi segala bentuk kasih sayang sama ada atas dasar penghormatan, belas kasihan, mahupun keakraban, yang seterusnya dizahirkan melalui kesetiaan untuk mempertahankan kebenaran dan berkorban demi kebaikan. Pada peringkat sosial, penanaman cinta yang suci ini amat penting kerana ia mampu menyatukan hati setiap individu, memadamkan api permusuhan, serta melahirkan sebuah masyarakat yang saling menghormati, bertanggungjawab, dan hidup harmoni di bawah satu payung nilai yang sama.
7.8.26 - Perempuan Yang Diuji - Ustaz Mohd Azli Abdullah
Perempuan Yang Diuji mengangkat pengajaran daripada Surah al-Mumtahanah ayat 10–11 tentang keimanan, maruah dan keteguhan prinsip seorang wanita ketika berdepan ujian hidup. Dalam realiti masa kini, wanita sering diuji dengan tekanan sosial, hubungan, kerjaya dan cabaran mempertahankan nilai agama. Ayat ini mengajar bahawa setiap ujian perlu dihadapi dengan iman, hikmah dan kepatuhan kepada syariat. Kefahaman terhadap mesej ini menjadi ilmu yang sangat penting agar generasi hari ini mampu membina jati diri yang kukuh dan membuat keputusan berlandaskan petunjuk Allah, bukan semata-mata mengikut arus zaman
6.8.26 - Menjiwai Keagungan Al-Quran - Ustaz Hanafiah Abdul Malek
Al-Quran merupakan mukjizat agung yang dikurniakan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan menjadi panduan hidup umat Islam sepanjang zaman. Keistimewaannya bukan sahaja terletak pada keindahan bahasa, malah pada kandungan yang membimbing manusia dalam soal akidah, ibadah, akhlak dan kehidupan. Perkongsian ini mengupas keagungan mukjizat al-Quran serta peranannya sebagai sumber ilmu dan kebenaran. Penghayatan terhadap wahyu Allah mampu memperkukuh akidah, membentuk pemikiran yang benar serta menjadi pedoman dalam menghadapi cabaran dan pengaruh kehidupan moden.
5.8.26 - Hukum Hakam Iddah - Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre
Iddah ialah tempoh yang diwajibkan kepada seorang wanita selepas perceraian atau kematian suami mengikut ketetapan syariat Islam. Pensyariatannya bukan sekadar tempoh menunggu, malah bertujuan memelihara maruah, nasab, hak serta keharmonian institusi kekeluargaan. Perkongsian ini menjelaskan hukum-hakam iddah, tempoh pelaksanaannya serta hikmah di sebalik pensyariatannya agar masyarakat lebih memahami dan mengamalkannya dengan tepat mengikut tuntutan syarak.
4.8.26 - Kaedah Bebas Tanggungan - Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan
Kaedah fiqh "Al-Aslu Bara'ah al-Zimmah" mengajar masyarakat bahawa secara asasnya seseorang itu bebas daripada sebarang tanggungan kewangan atau tuntutan kewajipan. Dalam kefahaman kehidupan bermasyarakat, kaedah ini menjadi benteng keadilan bagi melindungi individu daripada bebanan tuntutan ganti rugi yang melampau serta pertikaian hutang yang tidak pasti. Dengan menetapkan bahawa sebarang beban kewangan wajib dibuktikan dengan pasti, Islam memelihara hak setiap pihak daripada kezaliman, tuduhan tanpa asas, dan spekulasi kewangan yang tidak adil. Kaedah asal bebas tanggungan pada tuntutan ganti rugi: ●kemalangan/kecederaan.
3.8.26 - Lembu Bani Israil - Ustaz Izmir Fareez
Kisah penyembelihan lembu betina dalam Surah Al-Baqarah bermula daripada satu peristiwa pembunuhan yang tidak diketahui pelakunya dalam kalangan Bani Israel. Allah SWT memerintahkan Nabi Musa AS agar kaumnya menyembelih seekor lembu betina, namun mereka berulang kali mempersoalkan perintah tersebut sehingga menyukarkan urusan sendiri. Peristiwa ini memperlihatkan akibat sikap suka berdalih, ragu-ragu dan enggan mematuhi perintah Allah. Mukjizat yang menghidupkan semula mangsa pembunuhan untuk mendedahkan pelaku menjadi bukti kekuasaan Allah SWT, di samping mengajar umat Islam tentang kepentingan ketaatan, kejujuran dan menjauhi sikap keras hati.
2.8.26 - Teras Kebahagiaan Keluarga - Ustaz Mohd Elyas Ismail
Pemilihan pasangan hidup merupakan asas kepada pembentukan rumah tangga yang bahagia dan berkekalan. Islam menggariskan kepentingan memilih pasangan yang memiliki akhlak mulia, pegangan agama yang kukuh serta sifat amanah, jujur dan bertanggungjawab sebagai bekalan dalam melayari kehidupan berkeluarga. Rumah tangga yang dibina atas nilai iman dan akhlak akan menjadi tempat lahirnya generasi yang berilmu, berakhlak dan saling menghormati. Pemilihan pasangan yang tepat bukan sahaja membawa kebahagiaan kepada keluarga, malah menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera.
1.8.26 - Safar & Khurafat - Ustaz Dato' Mohd Fauzi Mustaffa
Safar & Khurafat membincangkan salah faham masyarakat yang mengaitkan bulan Safar dengan kesialan, bala dan pantang larang tertentu seperti tidak boleh berkahwin, berpindah rumah atau memulakan sesuatu urusan. Turut termasuk amalan mandi Safar, upacara menolak bala, penggunaan tangkal atau azimat serta penyebaran hadis dan kepercayaan palsu di media sosial yang tidak bersandarkan dalil. Hakikatnya, Rasulullah SAW menolak kepercayaan bahawa bulan Safar membawa sial, sebaliknya Islam mengajar umatnya agar berpegang kepada akidah yang sahih, berikhtiar, berdoa dan bertawakal kepada Allah, kerana hanya Allah SWT yang menentukan segala manfaat dan mudarat.