Isi Kandungan
Tanya lah Ustaz
- Okt 2025
31.10.25 - Tenang Dengan Kemaafan , Ustaz Mohammad Azfar
Setiap insan pernah terluka — disakiti, dikhianati, atau dipermalukan. Namun, yang menjadi beban ialah apabila hati masih terikat pada masa lalu, menyimpan marah dan dendam yang perlahan-lahan mencuri tenang. Hakikatnya, kita tidak akan benar-benar bahagia selagi belum berdamai dengan diri sendiri.
Allah berfirman dalam Al-Quran:
‘Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Tidakkah kamu suka bahawa Allah mengampuni kamu?’
(Surah an-Nur: 22)
Ayat ini diturunkan ketika Saidatina Aisyah r.a. difitnah, dan ayahandanya, Abu Bakr r.a., menahan marah hingga enggan lagi membantu orang yang menyebarkan fitnah itu. Namun, melalui ayat ini, Allah mengajarnya — dan juga kita — bahawa memaafkan bukan tanda lemah, tetapi lambang kekuatan hati yang mahu dicintai dan diampuni oleh-Nya.
30.10.25 - Lembutnya Jiwa, Besarnya Jasa , Ustaz Fikri Abdul Razak
Lembut tutur bicaranya, namun teguh imannya. Sayidina Uthman bin Affan R.A, sahabat Rasulullah SAW yang terkenal dengan sifat dermawan, tawaduk dan hatinya yang penuh kasih terhadap umat Islam. Kelembutan jiwanya bukan tanda kelemahan, tetapi kekuatan yang terpancar melalui amal, kesabaran, dan pengorbanannya demi Islam. Semoga kita meneladani kelembutan dan kemurahan hati beliau dalam kehidupan seharian.
Surah al-Anfal membuka lembaran tentang erti perjuangan yang sebenar dimans perjuangan yang bukan hanya di medan perang, tetapi juga dalam menegakkan kebenaran dan mempertahankan maruah insan. Ia mengajar kita bahawa kemenangan tidak datang dari kekuatan semata-mata, tetapi daripada keimanan yang teguh, kesatuan hati, dan pengorbanan di jalan Allah SWT.
Melalui kupasan Ustaz Azli dalam rancangan Tanyalah Ustaz, kita akan dibimbing untuk memahami bahawa jihad bukan sekadar mengangkat senjata, tetapi satu tekad untuk sentiasa memperbaiki diri, menguatkan iman, dan menjadi Muslim yang terbaik. Inilah jihad hakiki sebuah perjuangan melawan kelemahan diri dan menzahirkan akhlak Islam dalam setiap aspek kehidupan, demi meraih reda Allah SWT.
Keindahan manusia terletak pada fitrahnya — kesucian, keseimbangan dan ketaatan kepada Pencipta. Menjaga fitrah bermaksud memelihara diri daripada perkara yang merosakkan hati, akhlak dan nilai kemanusiaan. Dalam Islam, menjaga fitrah bukan sekadar soal zahir seperti kebersihan dan penampilan, tetapi juga batin — menjaga iman, maruah dan niat. Di situlah terserlah keindahan sebenar seorang insan yang hidup dalam harmoni dengan fitrah yang Allah tetapkan.
Keindahan manusia terletak pada fitrahnya — kesucian, keseimbangan dan ketaatan kepada Pencipta. Menjaga fitrah bermaksud memelihara diri daripada perkara yang merosakkan hati, akhlak dan nilai kemanusiaan. Dalam Islam, menjaga fitrah bukan sekadar soal zahir seperti kebersihan dan penampilan, tetapi juga batin — menjaga iman, maruah dan niat. Di situlah terserlah keindahan sebenar seorang insan yang hidup dalam harmoni dengan fitrah yang Allah tetapkan.
Nilai persaudaraan dalam Islam bukan hanya hubungan sesama manusia, tetapi satu ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Islam menuntut umatnya agar saling mengasihi, menghormati dan membantu tanpa mengira latar belakang. Apabila ukhuwah ini dipupuk dengan ikhlas kerana Allah, lahirlah masyarakat yang aman, kuat dan saling melindungi, mencerminkan keindahan ajaran Islam yang berteraskan kasih sayang dan perpaduan.
Khurafat ialah kepercayaan yang bercampur aduk dengan unsur mistik, mitos, dan adat, yang bertentangan dengan ajaran Islam. Walaupun dunia moden semakin canggih, khurafat masih hidup dalam bentuk amalan dan kepercayaan masyarakat — seperti bergantung pada tangkal, mempercayai pantang larang tanpa asas, atau mencari perlindungan melalui jalan yang bertentangan dengan tauhid. Ia ibarat bayang-bayang yang tidak pernah hilang, walaupun cahaya ilmu semakin terang. Fenomena ini berlaku kerana rasa takut yang berlebihan terhadap perkara ghaib, kurang kefahaman tentang agama, dan pengaruh budaya turun-temurun.
Akibatnya, sebahagian masyarakat masih terikat dengan bayangan lama, hingga mengabaikan keyakinan penuh kepada Allah SWT. Lebih membimbangkan, khurafat sering dijadikan alasan untuk menjelaskan nasib buruk atau penyakit, sedangkan Islam mengajar kita mencari sebab yang sahih, sama ada melalui rawatan perubatan atau doa dan amalan syariat.
Cinta Allah kepada makhluk-Nya bukan sekadar rasa, tetapi hadir dalam bentuk peringatan yang halus dan teguran yang lembut. Kadangkala ia datang melalui ujian, nikmat, atau detik kesedaran yang tiba-tiba menyentuh hati. Setiap peringatan itu adalah bahasa cinta Tuhan — tanda Dia mahu kita kembali menoleh kepada-Nya. Maka sebagai hamba, janganlah kita meletakkan cinta kepada sesiapa melebihi cinta kepada-Nya. Jika cinta itu punya kiasan, maka kiasan tertinggi ialah menjadikan Allah sebagai keutamaan sebelum manusia. Hanya dengan mendahulukan Dia, barulah cinta sesama makhluk menjadi berkat dan terpelihara.
Sebaik-baik umat ialah mereka yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dalam kehidupan hari ini yang penuh cabaran nilai dan ujian moral, peranan umat Islam semakin penting untuk menjadi contoh melalui akhlak, tutur kata dan tindakan. Kebaikan itu bukan hanya pada ibadah, tetapi juga dalam cara kita melayani manusia lain dengan kasih sayang dan kejujuran. Jadilah umat yang membawa manfaat kerana sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi kebaikan kepada orang lain.
"Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah siapa yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sekali lagi, maka tiba-tiba mereka bangun menunggu (keputusan masing-masing)." — Surah Az-Zumar (39:68)
Tiupan sangkakala (nafkh as-sūr) adalah antara detik paling dahsyat dan agung dalam sejarah alam, menandakan bermulanya kehancuran seluruh ciptaan dan permulaan Hari Kiamat. Ia disebut berulang kali dalam al-Quran dan hadis sahih, menggambarkan getaran bumi, terhentinya segala kehidupan, dan kebangkitan semula manusia selepasnya. Tazkirah ini akan membawa kita menyelusuri urutan peristiwa, dalil sahih, serta refleksi terhadap kehidupan hari ini, agar hati kita benar-benar bersedia menghadapi saat itu.
Zaman fitnah kini semakin parah. Penipuan berleluasa, nilai akhlak, adab dan moral kian terhakis. Dalam dunia pendidikan, kes buli, rogol dan pembunuhan di sekolah mencerminkan rosaknya sistem adab yang sepatutnya membina manusia berilmu dan berakhlak. Sikap ibu bapa yang terlalu memanjakan serta mempertahankan anak walau bersalah, dan guru yang sambil lewa dalam mendidik, semuanya menambah kerosakan jiwa generasi muda. Rasulullah SAW telah lebih 1400 tahun dahulu menggariskan solusi tuntas melalui tarbiah berasaskan iman, kasih sayang dan disiplin menjadikan akhlak sebagai asas pendidikan, tanggungjawab bersama antara ibu bapa, guru dan masyarakat bagi melahirkan insan bertaqwa dan beradab.
Populariti sering dianggap sebagai satu bentuk kejayaan dihormati, dikenali, dan disanjung ramai. Namun, di sebalik sorakan dan perhatian, tersembunyi satu ujian besar yang tidak semua mampu harungi iaitu ujian populariti.
Apabila seseorang menjadi popular, sama ada sebagai artis, pemimpin, atau personaliti media sosial, hidupnya mula menjadi perhatian. Segala gerak-geri diperhatikan, setiap kata-kata dinilai, dan kesilapan kecil boleh menjadi besar. Inilah cabaran sebenar bagaimana seseorang itu kekal merendah diri, jujur pada prinsip, dan tidak hanyut dengan pujian.
Ujian populariti juga menguji keikhlasan orang di sekeliling. Siapakah yang benar-benar setia, dan siapa pula hanya mendekat kerana nama? Ia menjadi cermin yang memantulkan siapa kita sebenar bukan ketika dipuja, tetapi saat dilanda kritikan dan kejatuhan.
Oleh itu, populariti bukan sekadar kelebihan. Ia adalah amanah dan ujian. Hanya yang kuat hati dan teguh prinsip mampu menghadapinya tanpa kehilangan arah.
Merujuk Hadis 33: Prinsip ini menegaskan bahawa keadilan tidak boleh ditegakkan hanya dengan dakwaan semata-mata. Jika setiap orang diterima cakapnya tanpa bukti, tentu manusia akan mudah menuduh, merampas harta, dan menumpahkan darah sesuka hati. Sebab itu, syariat menetapkan kaedah yang adil: pihak yang mendakwa mesti membawa bukti, manakala pihak yang menafikan disahkan dengan sumpah. Ketetapan ini menjaga keseimbangan antara hak individu dan kestabilan masyarakat. Ia menghalang fitnah, penipuan, serta tuntutan palsu, di samping mendidik agar setiap orang bertanggungjawab atas kata-kata mereka. Dalam konteks moden, prinsip ini juga menjadi asas kepada sistem kehakiman dan undang-undang: bukti, dokumen, saksi, dan sumpah menjadi jalan menegakkan kebenaran, bukan kata-kata kosong atau emosi.
Warga emas terkinja-kinja seperti anak remaja, antara lambakan aksi jelik yang boleh kita lihat di sosial media. Mereka tidak lagi segan silu demi meraih perhatian penguna sosial media selain ingin berasakan relevan dalam dunia maya yang mungkin tiada ketika usia muda
mereka. Sememangnya sosial media tidak diklarifikasikan sebagai media untuk orang muda sahaja, namun warga emas mereka harus waspada dengan muslihat di sebalik kecantikan & tipu daya dunia teknologi. Meskipun banyak membawa kebaikan sejagat, teknologi mampu membawa bahana kepada sesiapa yang taksub menggunakannya dan mempercayainya secara membuta tuli.
Rumah tangga bukan selalu indah macam drama cinta. Ada masa retak kerana salah faham, tekanan hidup, atau perangai pasangan yang kita tak boleh hadam. Tapi Islam ajar, bukan semua retak perlu dipecahkan. Kadang retak itu boleh ditampal, dan gam yang paling kuat ialah sabar. Nabi SAW sendiri hidup dengan isteri-isteri yang pelbagai sifat, tapi baginda ajar: “Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah (isterinya). Jika dia tidak menyukai satu perangai daripadanya, tentu ada perangai lain yang dia sukai.” (Riwayat Muslim).
Isu saka sering menjadi perbualan dalam masyarakat Melayu, dikaitkan dengan warisan ilmu kebatinan, perjanjian dengan makhluk halus, dan pewarisan ghaib kepada keturunan. Ada yang menganggap saka sekadar mitos dan cerita lama yang diwarisi turun-temurun tanpa
bukti nyata, namun ramai juga mendakwa merasai kesannya melalui gangguan emosi, mimpi, penyakit aneh, atau halangan dalam kehidupan. Dari sudut agama, apa sahaja pergantungan kepada makhluk halus dengan tujuan mendapatkan kekuatan, perlindungan, atau kelebihan adalah dilarang kerana boleh menjejaskan akidah. Realitinya, wujud kes di mana individu atau keluarga hidup dalam ketakutan kerana merasakan diri mereka "diperturunkan" saka.
Fenomena ini menjadi ujian besar yang menuntut rawatan berasaskan syariat, bimbingan ilmu, dan keyakinan penuh kepada Allah SWT. Saka tidak boleh dianggap remeh sebagai sekadar mitos, tetapi juga tidak wajar ditakuti melampau seolah-olah ia lebih berkuasa daripada ketentuan Allah. Hakikat yang perlu difahami ialah setiap gangguan ghaib hanya boleh berlaku dengan izin-Nya, dan benteng terbaik menghadapi ancaman ini ialah kekuatan
iman, doa, dan amalan syariat dalam kehidupan seharian.
Islam ajar bahawa seorang Muslim yang sejati ialah bila orang lain rasa selamat daripada lidah dan tangannya. Maksudnya, dia tidak menyakiti orang lain dengan kata-kata mahupun perbuatan. Rasulullah saw bersabda: “Seorang Muslim adalah orang yang mana kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Toma'ninah, atau ketenangan dalam setiap pergerakan solat, merupakan salah satu rukun yang sering dipandang ringan namun sangat penting. Ia melambangkan kekhusyukan hati dan penghormatan terhadap ibadah. Tanpa tuma’ninah, solat boleh menjadi terburu-buru dan kehilangan makna sebenar — iaitu komunikasi penuh tenang antara hamba dan Penciptanya. Justeru, hayatilah setiap gerakan solat dengan penuh kesedaran dan ketenangan agar ibadah kita benar-benar sempurna di sisi Allah.
Bersahabat dalam Islam bukan sekadar hubungan sosial, tetapi ikatan hati kerana Allah. Antara adabnya ialah memilih sahabat yang soleh kerana ia mencerminkan agama seseorang, saling menasihati dalam kebaikan, menjaga aib sahabat, serta mendahulukan keperluannya melebihi kepentingan diri. Rasulullah SAW bersabda, “Seseorang itu berada di atas agama sahabat karibnya, maka perhatikanlah dengan siapa kamu bersahabat.” [HR. Abu Daud].
Sahabat yang baik ialah yang mengingatkan
kita kepada Allah, mendoakan ketika jauh, menyokong ketika susah dan tidak iri hati ketika senang. Dengan adab ini, persahabatan menjadi jalan menuju syurga, bukan sekadar hubungan dunia.
Prinsip ini menekankan bahawa kehidupan beragama dan bermasyarakat tidak boleh dibina atas kemudaratan. Segala bentuk tindakan yang menyakiti diri sendiri atau orang lain perlu dihindari, sama ada dalam bentuk fizikal, emosi, harta, atau hak. Agama tidak membenarkan seseorang mencari keuntungan dengan menzalimi orang lain, begitu juga tidak mengizinkan perbuatan balas dendam yang menambah kerosakan. Dalam urusan harian, prinsip ini menjadi panduan untuk mengelakkan kesusahan yang tidak perlu. Syariat Islam diturunkan untuk memudahkan, bukan menyulitkan.
Sebab itu, hukum-hakam memberi ruang rukhsah ketika musafir, sakit, atau berada dalam keadaan darurat. Tujuannya supaya manusia dapat beribadah dengan tenang tanpa terbeban di luar kemampuan. Islam adalah agama yang menjaga kemaslahatan dan menolak mudarat. Ia mendidik kita supaya setiap keputusan, sama ada dalam ibadah, muamalat, atau kehidupan sosial, mesti mengutamakan kebaikan, menghindari kesusahan, dan tidak menzalimi diri mahupun orang lain.
Pemuda di sisi Rasulullah SAW merupakan kelompok yang memainkan peranan besar dalam menggerakkan dakwah Islam sejak peringkat awal lagi. Mereka tampil sebagai generasi yang berani, cekal dan penuh semangat untuk mempertahankan agama Allah meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dan ancaman. Tokoh-tokoh muda seperti Ali bin Abi Talib yang antara terawal memeluk Islam, Mus‘ab bin Umair yang diutus menjadi pendakwah ke Madinah, serta Asma’ binti Abu Bakar yang membantu dalam peristiwa hijrah, menjadi bukti betapa golongan muda tidak gentar untuk memikul tanggungjawab besar. Keberanian mereka terserlah di medan jihad, manakala kecerdikan dan kebijaksanaan mereka diiktiraf apabila Rasulullah SAW memberikan amanah kepimpinan, seperti Usamah bin Zaid yang dilantik mengetuai pasukan tentera walaupun masih muda. Semua ini memperlihatkan bahawa pemuda bukan sahaja pendokong bahkan juga penggerak utama kekuatan Islam, dan teladan mereka wajar dijadikan inspirasi oleh generasi muda masa kini untuk membina sahsiah, keberanian, serta kepimpinan dalam menghadapi cabaran kehidupan moden.
Islam sangat memuliakan tetamu. Bila seorang tetamu datang, dia bukan sekadar hadir dengan jasad tapi dia bawa bersama rahmat Allah. Dan bila dia pulang, dia tinggalkan doa kebaikan untuk tuan rumah. Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa umat Islam akan berpecah kepada 73 golongan, namun hanya satu yang berada di jalan yang benar — mereka yang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah baginda. Fenomena perpecahan ini menjadi peringatan buat kita agar sentiasa menilai pegangan, menjauhi sikap fanatik dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Di akhir zaman penuh fitnah ini, istiqamah dalam kebenaran adalah cabaran terbesar, namun juga jalan menuju keselamatan.
Nama bukan sekadar huruf-huruf yang disusun. Nama adalah doa dan harapan mak ayah yang akan dibawa oleh anak sampai akhir hayat. Setiap kali orang sebut nama kita, sebenarnya itu adalah doa yang diulang-ulang. Rasulullah SAW sangat menekankan soal nama. Baginda suka nama yang baik makna, dan akan ubah nama yang buruk makna. Hadis riwayat Abu Dawud ada sebut: “Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama kamu dan nama bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.
Solat bukan hanya rangkaian bacaan, tetapi juga ruang keheningan. “Solat: Ruang Bertafakur” merujuk kepada saat-saat hening yang diajarkan Nabi SAW, seperti berhenti sebentar selepas bacaan al-Fatihah atau ketika berpindah antara rukun. Sekilas diam ini bukan kosong, sebaliknya menghidupkan tadabbur, memberi ruang hati untuk merasakan makna doa, dan menghubungkan jiwa dengan Allah. Di zaman moden yang serba laju, keheningan ini mengajar kita bahawa solat bukan sekadar ritual, tetapi pertemuan penuh makna yang menuntut fokus dan rasa hadir.
Untuk meraih kasih Allah, seseorang perlu melepaskan ketamakan dunia tanpa meninggalkan tanggungjawab kehidupan. Harta dan kemewahan hanyalah alat menuju reda-Nya, bukan matlamat akhir. Sementara itu, untuk dihormati manusia, kuncinya ialah tidak mengharap pada milik orang lain. Jiwa yang sederhana, bebas daripada meminta-minta, dan tidak dikuasai dunia akan hidup tenang, dihormati manusia, serta dekat dengan Allah. Itulah hakikat hati yang zuhud dan benar-benar merdeka.
Penjagaan adab jangan menghina, mengejek atau memberi gelaran buruk kerana setiap insan berhak pada taubat dan pemulihan. Larangan sosial pula menegah sangkaan jahat, mengintip dan mengumpat, yang digambarkan Allah seperti memakan daging mayat saudara sendiri. Seruan meluas kepada seluruh manusia: bangsa dan suku bukan medan bermegah, tetapi ruang saling mengenal, dengan nilai tertinggi adalah taqwa. Inilah bekalan yang menjadikan umat layak berinteraksi secara global dengan akhlak mulia.
Ramai antara kita salah sangka, ayah diam kerana ayah tak sayang. Hakikatnya, dalam diam itulah ada doa. Dalam doa itulah ada kasih. Dalam kasih itulah ada keberkatan hidup anak. Dalam hadis Nabi “Tiga doa yang mustajab tanpa keraguan: doa orang yang dizalimi, doa musafir, dan doa ibu bapa kepada anaknya.” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ibn Majah)
Doa bukan sekadar permintaan, tetapi tanda penghambaan serta hubungan langsung seorang hamba dengan Allah SWT. Ia mendidik hati agar sentiasa bergantung kepada-Nya, memberi kekuatan dalaman, dan menjadi sumber ketenangan dalam setiap keadaan. Doa lebih mudah dimakbulkan apabila hadir dengan hati yang ikhlas, penuh keyakinan, serta diiringi usaha yang selari dengan syariat. Hakikatnya, doa bukan hanya dipanjatkan ketika susah, tetapi juga ketika senang sebagai tanda syukur dan pengikat nikmat. Bagi seorang mukmin, doa adalah benteng, kekuatan rohani, dan jambatan penghubung yang menumbuhkan rasa cinta serta harapan kepada Allah SWT.
Surah Al-Anbiya menceritakan kisah para nabi yang diuji dengan pelbagai cabaran namun tetap teguh dengan doa dan tawakal kepada Allah. Kisah Nabi Ayub yang sabar menanggung derita, Nabi Yunus yang berdoa dari perut ikan, dan Nabi Zakaria yang penuh harapan walau sudah tua, semuanya menjadi gambaran betapa doa dan kesabaran itu senjata utama seorang mukmin. Surah ini mengingatkan kita bahawa pertolongan Allah itu datang tepat pada waktunya dan setiap ujian yang menggoncang hati adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada-Nya.